Semantan Estate dapat tangguh keputusan Mahkamah Rayuan berkait Duta Enclave

Semantan Estate dapat tangguh keputusan Mahkamah Rayuan berkait Duta Enclave

Syarikat itu mahu rayu keputusan arah kerajaan membayar pampasan dan bukannya pindah milik semula tanah.

kompleks
Tanah seluas 106 hektar lebih dikenali Duta Enclave menempatkan Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, kompleks kerajaan lain, kemudahan sukan dan pelbagai mercu tanda. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Semantan Estate Sdn Bhd memperoleh penangguhan terhadap perintah Mahkamah Rayuan yang mengarahkan penilaian pampasan dibayar bagi pengambilan jangka panjang 106 hektar tanah Duta Enclave oleh kerajaan.

Penangguhan itu, yang dikeluarkan Mahkamah Persekutuan, berkuat kuasa sementara menunggu permohonan kebenaran Semantan Estate untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan, lapor The Edge.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim membenarkan penangguhan itu selepas pihak kerajaan, diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, tidak membantah permohonan tersebut.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini menetapkan 13 Nov untuk mendengar permohonan kebenaran itu, namun Hasnah mencadangkan tarikh lebih awal memandangkan kes tersebut sudah berlarutan terlalu lama.

Peguam utama Semantan Estate, Cyrus Das, bersetuju bahawa permohonan itu wajar disegerakan, namun berkata pendengaran pada September atau Oktober tidak sesuai kerana pihaknya memerlukan masa bagi menyediakan hujahan.

Panel berkenaan, yang turut disertai Hakim Zabariah Yusof dan Vazeer Alam Mydin Meera, kemudiannya menetapkan 6 Nov untuk mendengar permohonan kebenaran rayuan syarikat tersebut.

Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan kerajaan membayar pampasan kepada Semantan Estate Sdn Bhd kerana menduduki sebidang tanah seluas 106 hektar di Kuala Lumpur, lebih dikenali Duta Enclave, hampir 50 tahun.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Lee Swee Seng berkata, pampasan kewangan remedi lebih sesuai daripada membenarkan pihak berkuasa memindahkan hak milik tanah itu kepada syarikat terbabit.

Kerajaan dilaporkan berkata, ia sedia membayar pampasan mencukupi kepada syarikat terbabit untuk tanah berkenaan.

Hakim Azimah Omar dan Wan Ahmad Farid Wan Salleh turut mendengar rayuan itu.

Panel hakim kemudian mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan memerintahkan taksiran pampasan dalam tempoh 90 hari dengan bantuan pakar.

Mahkamah menolak rayuan balas Semantan Estate untuk perintah mandamus bagi memindahkan tanah itu kepada syarikat berkenaan dan memaksa pihak berkuasa tanah mendaftarkan tanah terbabit.

Mahkamah Rayuan turut memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi Semantan Estate dalam bentuk keuntungan mesne atas pendudukan tanah itu yang menyalahi undang-undang.

Keuntungan itu dikira dari 3 Dis 1956 sehingga tarikh jumlah pampasan dibayar sepenuhnya.

Pengurusan kes bagi taksiran ganti rugi akan diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Jun ini.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, tanah itu kini bernilai RM12 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.