Saifuddin bangkit persoalan penting selubungi kes Zara

Saifuddin bangkit persoalan penting selubungi kes Zara

Ahli Parlimen Indera Mahkota persoal tindakan polis dan kerajaan kendali kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu bulan lepas.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah berkata langkah diambil oleh kerajaan dan pihak polis dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir timbul ‘keraguan munasabah’.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen membangkitkan beberapa persoalan penting yang menurutnya belum terjawab berhubung tindakan kerajaan dan polis dalam mengendalikan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir di Sabah pada 17 Julai lepas.

Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah berkata langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dan pihak polis berhubung kes Zara Qairina ‘menimbulkan keraguan munasabah’.

Antara persoalan terpenting dikemukakannya adalah kelewatan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberikan penerangan yang jelas berhubung kejadian itu.

“Mengapakah menteri dalam negeri mengambil masa sebulan, iaitu hanya pada 18 Ogos, sebelum memberikan penjelasan tentang kes ini di Dewan Rakyat?” soalnya dalam tulisan di ruangan Merentas Ruang di Sinar Harian.

“Mengapakah menteri pendidikan tidak langsung menyentuh kes ini ketika penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, pada 21 Ogos, sedangkan isu ini dibangkitkan oleh saya dan beberapa Ahli Parlimen lain?”

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan siasatan dan hukuman yang telah diambil oleh Kementerian Pendidikan terhadap warga sekolah yang bertanggungjawab atas kebajikan Zara Qairina ketika berada di sekolah.

“Mengapakah Kementerian Pendidikan belum memberikan penjelasan berhubung siasatan dan hukuman terhadap pihak-pihak berkaitan (pengetua, guru penolong kanan Hal Ehwal Murid dan warden-warden sekolah) kerana kenyataannya pada 13 Ogos hanya menyebut tentang penempatan sementara mereka di JPN Sabah sahaja?”

Selain itu, Saifuddin turut menggesa penjelasan lebih lanjut diberikan mengenai siasatan polis berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, bukan hanya tiga pegawai polis terlibat patut disiasat kerana menjalankan siasatan yang tidak sempurna, tetapi individu yang mengeluarkan arahan yang membawa kepada kelemahan siasatan tersebut turut perlu dikenal pasti.

“Penentuan sama ada wujud campur tangan daripada mana-mana pihak luar pasukan polis yang mengakibatkan kelemahan siasatan itu (turut patut disiasat).

“Oleh kerana kes ini tidak diurus dengan baik sejak awal, maka kita perlu terus memerhati dan memantau,” katanya.

Saifuddin meminta semua pihak agar tidak ‘lupa atau lepa’ dalam usaha menegakkan keadilan buat remaja berusia 13 tahun itu.

“Kalaulah tidak kerana luasnya perhatian awam melalui media sosial, perbahasan Parlimen dan himpunan-himpunan rakyat, besar kemungkinan kes ini masih terbiar tanpa tindakan sewajarnya.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas, selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Pada 9 Ogos, jenazahnya digali semula berikutan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang berpendapat siasatan lanjut yang lebih menyeluruh perlu dijalankan.

Bedah siasat selesai dilaksanakan di HQE I pada hari berikutnya dan jenazahnya dikebumikan semula pada hari sama.

Dilaporkan pada 11 Ogos, Bukit Aman menghantar sepasukan petugas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), dianggotai sembilan pegawai dan anggota, ke Sabah untuk mengambil alih siasatan kes kematian Zara Qairina, susulan arahan AGC.

Pada 20 Ogos, lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak, Kota Kinabalu, Sabah, atas tuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.

Tuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.