
Itulah kegiatan jijik sindiket pedofilia yang akhirnya terbongkar menerusi Ops Pedo, operasi sebulan oleh Unit Siasatan Jenayah Siber (Internet) Terhadap Kanak-Kanak Malaysia, Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) polis dan agensi antarabangsa bermula 19 Julai hingga 19 Ogos lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman M Kumar berkata, lebih menjijikkan apabila suspek utama, seorang juruteknik tempatan berusia 29 tahun yang ditahan pada 19 Julai lepas, melakukan penderaan seksual termasuk merogol, meliwat dan mendera secara seksual bayi serta kanak-kanak tersebut bagi memuaskan nafsu.
Katanya, kesemua adegan terkutuk bersama mangsa termasuk dua bayi lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan berusia dua bulan hingga lima tahun itu kemudian dirakam untuk dijual di laman gelap dan aplikasi Telegram, dengan pelanggannya dari dalam negara dan antarabangsa.
“Modus operandi suspek utama adalah mendapatkan bekalan bayi melalui aplikasi Facebook yang menawarkan bayi untuk diambil sebagai anak angkat,” katanya dalam sidang media di IPK Johor hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad.
“Suspek akan berurusan dengan ibu kandung melalui cara memberikan wang tunai antara RM1,500 hingga RM3,500 termasuk melunaskan bil bersalin di hospital.”
Kumar berkata, ibu kandung mangsa dijaga sehingga urusan memperoleh sijil kelahiran yang sah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selesai.
Beliau turut mendedahkan, satu daripada sijil kelahiran yang dirampas memaparkan nama suspek sebagai bapa.
Suspek juga didapati mendapat hak penjagaan mangsa sebagai anak angkatnya secara sah, tambahnya.
Lebih mengejutkan, katanya, suspek dipercayai turut mencari mangsa lain secara rambang dengan menyasarkan kanak-kanak yang tidak diawasi ibu bapa atau penjaga di kawasan kejiranannya bagi melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
“Setakat ini kita telah mengenal pasti dan mengesan tiga mangsa (dari kawasan kejiranan) terdiri daripada kanak-kanak perempuan berumur lima hingga tujuh tahun,” kata Kumar.
Beliau berkata, 10 individu lain telah ditahan bagi membantu siasatan, termasuk wanita warga Indonesia yang dipercayai berperanan sebagai penjaga mangsa.
Katanya, individu yang ditahan termasuk dua wanita tempatan, dua lelaki dan empat wanita Indonesia, seorang lelaki Myanmar serta seorang wanita Suluk, berusia antara 25 hingga 60 tahun.
Pelbagai barangan turut dirampas di rumah suspek termasuk sijil kelahiran, buku ibu mengandung, kad pengenalan, borang kosong JPN, komputer riba dan telefon bimbit.
Kumar berkata, tiga kanak-kanak dan dua bayi yang telah diselamatkan itu kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, suspek disiasat mengikut Seksyen 5, Seksyen 14(a) dan Seksyen 14 (d) bagi Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan lima kertas siasatan telah dibuka dan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara pada 21 Ogos lepas.
“Polis menasihati ibu bapa dan penjaga kanak-kanak agar sentiasa prihatin dengan pergerakan anak masing-masing memandangkan ancaman pedofilia sukar dikesan dan penjenayah berada dalam kalangan masyarakat,” katanya.