Petros bukan niat jejaskan Petronas, kata ketua Bersatu Sarawak

Petros bukan niat jejaskan Petronas, kata ketua Bersatu Sarawak

Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, dakwaan oleh bekas menteri itu abai hasrat Sarawak urus sumber sendiri.

jaziri alkaf abdillah suffian
Peranan Petros adalah untuk pastikan Sarawak peroleh agihan kekayaan secara langsung, telus dan saksama daripada hasil yang dijana dari dalam pesisirnya sendiri, tegas Jaziri Alkaf Abdillah.
PETALING JAYA:
Petroleum Sarawak Berhad (Petros) ditubuhkan untuk memastikan Sarawak memperoleh agihan hasil sumbernya secara adil dan telus, tegas seorang pemimpin Bersatu, sekali gus menyangkal dakwaan kononnya syarikat itu akan melemahkan Petronas.

Ketua Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, dakwaan oleh bekas menteri persekutuan itu tidak mengendahkan hasrat Sarawak untuk menguruskan sumbernya sendiri.

“Peranan Petros bukanlah untuk menjejaskan daya saing Petronas,” katanya, lapor The Borneo Post.

“(Sebaliknya), ia bertujuan memastikan Sarawak meraih perkongsian kekayaan secara langsung, telus dan saksama daripada hasil yang dijana di buminya sendiri.”

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Zaid Ibrahim, yang dilaporkan mendakwa Petros, selaku agregator gas tunggal Sarawak, tidak wajar diamanahkan peranan dalam pembangunan gas atas dasar ia akan menjejaskan kedudukan Petronas.

Zaid yang pernah menjadi jawatan menteri undang-undang pada 2008 berkata, jika Petros diamanahkan dengan peranan sedemikian, ia akan melemahkan daya saing komersial dan mengancam struktur persekutuan negara.

Jaziri berkata, desakan Sarawak untuk mendapatkan kawalan lebih besar ke atas minyak dan gasnya bukanlah suatu helah politik, tetapi berkenaan soal keadilan ekonomi.

Katanya, Sarawak bersetuju untuk membentuk Malaysia pada 1963 sebagai rakan kongsi sama rata yang mempunyai kawalan ke atas sumber dan imigresennya sendiri.

Beliau menambah, Akta Kemajuan Petroleum 1974 telah digubal tanpa persetujuan DUN Sarawak.

“Pada pandangan saya, menganggap bahawa tindakan Sarawak uruskan sumbernya seumpama mengancam persekutuan adalah seperti tidak mengendahkan pemusatan hasil selama berdekad-dekad yang telah jejaskan pembangunan dan kemajuan kita sendiri,” katanya.

Awal hari ini, Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kevin Lau berkata, kenyataan Zaid menggambarkan kurangnya pemahaman beliau terhadap sentimen rakyat Sarawak dan mengabaikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang mengiktiraf hak Sarawak ke atas sumbernya sendiri.

Lau berkata, dakwaan bahawa Petros akan melemahkan Petronas adalah ‘mengelirukan’.

Katanya, penubuhan Petros adalah perlu bukan sahaja untuk melindungi kuasa sah Sarawak ke atas sumbernya, tetapi untuk memastikan pengagihan yang saksama untuk manfaat industri tempatan dan sektor tenaga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.