Pemilihan PAS: Tolak pencalonan, Mokhtar mahu jadi ‘ustaz pondok berpolitik’

Pemilihan PAS: Tolak pencalonan, Mokhtar mahu jadi ‘ustaz pondok berpolitik’

Mokhtar Senik tolak pencalonan tanding tempat dalam jawatankuasa Dewan Ulama PAS pada pemilihan parti bulan depan.

AJK Dewan Ulama PAS Pusat Mokhtar Senik berkata, beliau mahu beri tumpuan bangun sekolah pondoknya dan menulis. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Ahli jawatankuasa (AJK) Dewan Ulama PAS Pusat Mokhtar Senik mengumumkan menolak pencalonan bagi mengekalkan jawatan itu pada pemilihan parti bulan depan.

Mokhtar berkata, walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan rasmi, beliau kekal sebagai ahli PAS dan pemerhati politik aktif.

“Bila saya dah tak pegang apa-apa jawatan dalam parti, tak perlu dah nak cantas-cantas saya atau nak jatuhkan saya. Tak payah reka cerita fitnah dan tak perlu takut dengan kemaraan saya dalam gelanggang hierarki kepimpinan.

“Tak payah bimbang kalau saya rebut kawasan DUN atau Parlimen sesiapa, atau tanding jawatan apa-apa. Saya hanya mahu jadi ustaz pondok sahaja, tapi yang berpolitik,” katanya di Facebook.

Mokhtar turut berterima kasih kepada Dewan Ulama kawasan yang mencalonkannya, sambil menegaskan beliau mahu memberi tumpuan membangunkan sekolah pondoknya dan menulis.

Sepanjang pembabitan dalam PAS, beliau pernah memegang pelbagai jawatan, termasuk ketua cawangan, yang dipertua kawasan, ketua Dewan Ulama negeri, AJK Dewan Ulama Pusat dan AJK PAS Pusat.

Menjelang pemilihan PAS, Mokhtar membangkitkan beberapa perkara, termasuk mencadangkan calon presiden dan timbalan presiden parti ditapis Majlis Syura Ulama.

Menurutnya, peraturan khas itu untuk mengawal kualiti kelayakan bagi pemegang jawatan yang kini disandang Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau turut mengingatkan kumpulan ulama atau profesional yang cuba menghuru-harakan parti itu pada pemilihannya tahun ini akan berdepan laluan gelap atau hilang dari radar politik.

Ingatan itu disuarakannya Februari lalu susulan wujud ‘paluan gendang’ atau gesaan supaya jawatan disandang Hadi dan Tuan Ibrahim dipertandingkan.

Menurutnya, ada dua kemungkinan gesaan terbabit wujud, iaitu daripada pihak luar yang ingin melihat perubahan pimpinan dan Hadi direhatkan atas alasan kesihatan seperti pada 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.