
Zaid menyatakan perbincangan tidak seharusnya terhad kepada perbualan peribadi antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg.
“Boleh tak kita ada mekanisme telus? Apa yang dipersetujui kita tahu, kita dengar. Tidak jadi timbul sampai rumit,” katanya dalam episod terkini audio siar ‘Zaid Ibrahim Podcast’.
Hassan bersetuju dengan bekas rakan separti itu, mengingatkan bahawa ketiadaan ketelusan boleh mencetuskan persepsi.
“Saya setuju tentang benda ini tidak boleh rahsia sangat, sebab saya secara peribadi pun ada bimbang juga isu Petronas ini. Kelangsungan Petronas ini penting, untuk Sarawak, untuk kita semua,” kata wakil rakyat PKR itu.
Ahli Parlimen dua penggal itu menambah kedudukan kerajaan persekutuan sekarang tidak kukuh berbanding pentadbiran lalu.
Hassan berkata kerajaan Barisan Nasional kukuh bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, berbanding kerajaan sekarang.
“Mendukung kerajaan ini 23 kerusi dari Sarawak, kalau tidak silap saya. Satu jumlah yang besar. Saya bersangka baik tapi itu pentingnya ketelusan supaya tidak wujud persepsi bahawa untuk menjaga stabiliti, kekal dapat sokongan Sarawak maka ada tolak-ansur.”
Zaid berkata ketiadaan ketelusan berisiko membawa ‘tawar-menawar’ (horse trading) yang tidak adil, dan menambah ketelusan harus dituntut daripada Petronas dan Petros.
Hassan bersetuju, menyatakan kebertanggungjawaban juga harus terpakai ke atas Sarawak.
“Sejak 1963 sampai sekarang sejauh manakah peruntukan persekutuan yang turun ke Sarawak dibelanjakan sampai ke bawah, sehingga rakyat maju dan negerinya membangun, atau ada berlaku ketirisan atau tidak ada berlaku rasuah?
“Persepsi yang kita nampak ada semacam tadbir urus yang tidak elok dalam suatu waktu tertentu di Sarawak, mungkin sekarang agak elok sikit.
“Dalam masa yang sama kita ken menyedari juga tuntutan rakyat Sarawak iaitu ada peruntukan-peruntukan yang mereka rasa hak mereka dalam Perlembagaan yang kerajaan persekutuan belum dapat tunaikan.”
Zaid mencadangkan penubuhan kaukus Parlimen melibatkan Ahli Parlimen dari Sarawak dan Semenanjung sebagai platform untuk membolehkan perbincangan rasmi berlaku.
Hassan berkata beliau akan mengkaji cadangan itu, sambil menyatakan Dewan Rakyat pernah mempunyai jawatankuasa pilihan mengenai federalisme pada masa lalu.
“Ada satu tugas yang diberikan oleh kerajaan iaitu Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof… dia bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 melibatkan Sabah, Sarawak, dan kerajaan persekutuan.”