
Ahli Parlimen Libaran, Suhaimi Nasir, berkata sistem tanah di Sabah yang unik termasuk status ‘Country Lease’ dan ‘Town Lease’ selama 99 tahun tidak boleh disamakan dengan konteks Semenanjung.
Katanya, jika model PSB dijadikan rujukan dasar, pemilik tanah di kawasan bandar di Sabah boleh terbeban dengan kos pembangunan semula yang tinggi.
Beliau turut mempersoalkan implikasi RUU itu terhadap peminjam perumahan, khususnya golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar.
“Lazimnya tempoh pinjaman mencecah 30 hingga 35 tahun, namun melalui mekanisme seperti PSB, sesebuah kediaman boleh dipaksa terlibat dalam skim pembangunan semula meskipun baki pinjaman masih belum diselesaikan.
“Rakyat, khususnya golongan B40 di kawasan bandar, berisiko menjadi mangsa jerat berganda apabila masih menanggung hutang perumahan dan dalam masa sama terdedah kepada kehilangan bentuk asal kediaman yang sedang mereka bayar,” katanya dalam kenyataan.
FMT melaporkan perbahasan RUU PSB ditunda ke mesyuarat Dewan Rakyat akan datang dengan bacaan kedua diteruskan hari ini seperti dijadualkan.
RUU tersebut berdepan penolakan kuat daripada wakil rakyat pembangkang dan beberapa dalam kalangan pemerintah, termasuk daripada PKR dan Barisan Nasional (BN).
Awal hari ini, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata komponen itu meminta RUU PSB ditangguhkan dan dibuka kepada sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan.
Antara kebimbangan disuarakan termasuk takrif ‘urban’, dan hak golongan yang tidak memberi restu kepada pembangunan semula.