RUU PSB dipinda selepas gagal dapat sokongan

RUU PSB dipinda selepas gagal dapat sokongan

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menaikkan ambang persetujuan kepada 80% tanpa mengira usia bangunan.

Nga Kor Ming
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pindaan itu dibuat selepas jawatankuasa Parlimen mengenai infrastruktur membangkitkan kebimbangan terhadap kadar ambang dalam sesi libat urus pada 21 Ogos lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar 2025 akan dipinda dengan ambang persetujuan baharu selepas undang-undang itu menerima bantahan daripada Ahli Parlimen dan kumpulan masyarakat sivil.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata semua projek pembangunan semula di bawah RUU itu kini memerlukan persetujuan 80% pemilik.

“Semua nilai ambang itu diseragamkan ke paras 80% tanpa mengira usia bangunan,” katanya ketika membentangkan RUU untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, RUU tersebut mencadangkan kadar ambang persetujuan lebih rendah bagi jenis bangunan tertentu, iaitu 75% untuk bangunan melebihi 30 tahun dan hanya 51% untuk bangunan terbengkalai atau tidak selamat.

Nga berkata pindaan itu dibuat selepas jawatankuasa Parlimen mengenai infrastruktur membangkitkan kebimbangan terhadap kadar ambang tersebut dalam sesi libat urus pada 21 Ogos lalu.

Beliau juga berkata mencapai ambang 80% bukan bermakna bangunan akan terus diroboh atau penduduk diusir, sebaliknya ia hanya menandakan proses perbincangan boleh dimulakan dengan pemilik terlibat.

“Apabila nilai ambang dicapai, barulah proses perbincangan dimulakan bukan terus ambil rumah anda.”

RUU itu memperincikan tiga jenis projek – pembangunan semula membabitkan merobohkan dan membina semula projek perumahan, penjanaan semula iaitu membaiki atau menaik taraf bangunan usang atau terbengkalai, dan penghidupan semula membabitkan menaik taraf atau memperbaiki kawasan tanpa merobohkannya.

Nga berkata banyak kawasan yang dikenal pasti untuk pembaharuan ditentukan oleh kerajaan negeri, bukan kementerian persekutuan. Beliau memberi contoh Terengganu, Kedah dan Kelantan yang sudah mewartakan tapak untuk kerja-kerja masa depan.

“Itu datang daripada negeri sendiri. Itu fakta, bukan auta,” katanya.

Beliau menambah mendapatkan persetujuan semua pemilik kebanyakan flat lama hampir mustahil kerana ada pemilik yang tidak dapat dikesan atau menghadapi isu undang-undang, manakala sebahagian lagi masih terikat dengan pinjaman tertunggak atau menunggu geran dikeluarkan.

Bagi menangani kebimbangan tentang layanan tidak adil, Nga berkata RUU itu akan melindungi mereka yang bersetuju mengambil bahagian, dengan pemaju diwajibkan menawarkan syarat yang tidak lebih kurang daripada sebelumnya.

Dalam kebanyakan kes, pemilik rumah akan menerima kediaman baharu di kawasan sama, katanya.

“Setiap pemilik akan memperolehi unit baharu bagi memastikan mereka dapat kembali memiliki dan menghuni semula rumah di kawasan asal,” katanya.

Nga juga menolak dakwaan bahawa undang-undang itu akan menjejaskan tanah rizab Melayu atau tanah kampung, sambil menegaskan bahawa status asal tanah tersebut akan kekal.

Beliau turut menolak tuduhan bahawa undang-undang itu bertujuan mengusir keluarga miskin bagi memberi laluan kepada projek mewah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.