Portal khas aduan isu kanak-kanak akan diwujud

Portal khas aduan isu kanak-kanak akan diwujud

Portal itu akan menjadi saluran tambahan selain saluran sedia ada seperti Talian Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Azalina Othman Said ditemui selepas merasmikan Seminar Literasi Undang-undang Perundangan Negara 2025: Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di Universiti Kebangsaan Malaysia.
BANGI:
Kerajaan akan mewujudkan portal khas untuk aduan dan kesedaran melibatkan isu kanak-kanak yang dijangka dilaksanakan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata portal itu akan menjadi saluran tambahan selain saluran sedia ada seperti Talian Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita sedang berbincang dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) serta Pejabat Perkhidmatan Kanak-kanak. Kita mahu mewujudkan sebuah portal khas untuk aduan dan juga kesedaran,” katanya selepas merasmikan Seminar Literasi Undang-undang Perundangan Negara 2025: Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata, portal itu akan memberi ruang khusus kepada orang ramai membuat laporan berkaitan isu yang menjejaskan kanak-kanak selain berfungsi sebagai medium kesedaran mengenai hak dan perlindungan golongan terbabit.

“Ini tidak sama seperti Talian Kasih JKM, itu lain. Portal ini lebih kepada jika ada pihak yang mahu membuat laporan mengenai apa sahaja isu yang menjejaskan kanak-kanak,” katanya.

Katanya, langkah itu juga selaras fungsi Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak yang diberi kuasa untuk melaksanakan program promosi, kesedaran dan pendidikan berkaitan hak golongan tersebut.

Sementara itu, Azalina berkata cadangan menggubal akta antibuli yang menggunakan sistem tribunal bagi kes membabitkan pelajar dan kanak-kanak belum dimuktamadkan kerana ia memerlukan penelitian menyeluruh, termasuk libat urus kementerian terlibat, pakar serta pihak berkepentingan sebelum dibawa ke Kabinet.

Katanya, mesyuarat mengenai cadangan itu akan diadakan minggu depan melibatkan semua kementerian yang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) masing-masing berhubung kes buli.

Sebelum ini, Azalina berkata tiada undang-undang khusus diperuntukkan bagi kesalahan buli, sebaliknya bergantung kepada Kanun Keseksaan dan peruntukan undang-undang lain.

Katanya, wujud kebimbangan disuarakan Suhakam berhubung hakikat pelaku dan mangsa dalam kes buli adalah dalam kalangan kanak-kanak.

Menurutnya, dalam kes membabitkan kanak-kanak dan pelajar sekolah, sistem tribunal perlu diguna pakai untuk membicarakan kes buli.

“Ini adalah sesuatu yang perlu dibincangkan oleh Kabinet sama ada terdapat keperluan untuk melihat kepada proses lain dalam hal membabitkan buli kanak-kanak, (iaitu) dengan menggunakan sistem tribunal seperti bawah Akta Antigangguan Seksual,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.