Pesakit skizofrenia meningkat 14% dalam 3 tahun

Pesakit skizofrenia meningkat 14% dalam 3 tahun

Hospital kerajaan merekodkan 8,303 pesakit skizofrenia tahun lalu.

schizophrenia
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata 59.1% pesakit skizofrenia ialah Bumiputera, manakala pesakit Cina dan India masing-masing 24.4% serta 5.8%. (Gambar Envato Elements) 
PETALING JAYA:
Hospital kerajaan mencatatkan peningkatan 14.6% pesakit skizofrenia tahun lalu berbanding 2021, kata Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, jumlah pesakit yang direkodkan hospital kerajaan ialah 7,468 orang pada 2022, meningkat 3% berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah itu terus meningkat kepada 8,481 pesakit pada 2023, sebelum berkurangan sedikit kepada 8,303 orang tahun lalu.

“Jumlah pesakit menunjukkan peningkatan sebanyak 3% pada 2022 berbanding 2021, peningkatan 17% pada 2023 berbanding 2021 dan peningkatan 14.6% pada 2024 berbanding 2021,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas).

Dzulkefly berkata, 59.1% pesakit skizofrenia ialah golongan Bumiputera, yang terdiri daripada 50.2% Melayu, 2.3% Iban, Kadazan dan Dusun masing-masing 1.8%.

Pesakit Cina pula terdiri daripada 24.4%, diikuti pesakit India sebanyak 5.8%.

“Rawatan dan pemulihan kepada pesakit skizofrenia boleh dibahagikan kepada rawatan farmakologikal (ubat-ubatan) dan rawatan rehabilitasi berterusan dan sokongan psikososial termasuklah sokongan pekerjaan.

“Pesakit skizofrenia boleh dirawat sebagai pesakit dalam dan pesakit luar. Bagi pesakit skizofrenia mengalami gangguan penyakit mental serius yang memerlukan kemasukan ke wad, mereka akan dirawat dengan ubat-ubatan serta dipantau di wad sehingga keadaan stabil dan boleh pulang ke rumah.

“Bagi pesakit dengan keadaan lebih ringan, rawatan boleh diberikan sebagai pesakit luar di klinik pakar psikiatri.”

Beliau berkata, pesakit luar masih memerlukan rawatan susulan dan rehabilitasi psikososial di komuniti psikiatri diperlukan bagi meningkatkan kefungsian serta kemandirian mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.