Pelan integrasi Terminal 1, 2 KLIA dipercepat

Pelan integrasi Terminal 1, 2 KLIA dipercepat

Ia termasuk pembangunan kemudahan pengangkutan bas dalam kawasan larangan bagi penumpang dan bagasi.

klia
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook meminta syarikat penerbangan bekerjasama merealisasikan pelan pengintegrasian Terminal 1 dan 2 KLIA bagi meningkatkan kedudukan negara sebagai hab penerbangan serantau.
KUALA LUMPUR:
Pelan Pengintegrasian Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dipercepatkan bagi memastikan ketersambungan berterusan penumpang serta bagasi, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Menurutnya, ia antaranya melibatkan pembangunan kemudahan kebolehcapaian antara dua terminal terbabit seperti kemudahan pengangkutan bas dalam kawasan larangan (airside) bagi penumpang dan bagasi, yang bakal dibangunkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Beliau meminta syarikat penerbangan bekerjasama untuk merealisasikan perkara itu dalam usaha meningkatkan kedudukan negara sebagai hab penerbangan serantau.

“Kita mahu syarikat penerbangan ini jangan tertumpu kepada persaingan saja. Kita tidak melihat kepada mainan campur-tolak (zero-sum game), tetapi lebih kepada kepentingan negara, bagaimana meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau yang penting.

“Saya harap menjelang tahun depan, perkara ini boleh direalisasikan, sebab apa yang kita minta tidak ada tambahan secara besar dari segi infrastruktur, tetapi lebih kepada penambahbaikan sistem dan ia tidak perlu infrastruktur besar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Konsultasi Penerbangan Negara (NACC) semalam.

Loke berkata, pelan itu juga mungkin melibatkan prosedur imigresen dan kastam, namun perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan perinciannya dijangka mengambil sekurang-kurangnya enam hingga sembilan bulan.

Tegasnya, Kementerian Pengangkutan menyokong sepenuhnya idea pengintegrasian itu yang merupakan sebahagian pelan pembangunan dan pengurusan MAHB serta menafikan ia dipengaruhi kehendak politik.

“Malah, saya telah menggesa (pengintegrasian) ini banyak kali sebelum ini.”

Selain itu, Loke berkata, tindakan susulan lain turut diputuskan dalam mesyuarat sama untuk menyelesaikan beberapa isu seperti kajian semula pelaksanaan ‘Green Lane’ bagi menyelesaikan masalah kesesakan pemeriksaan kastam di Terminal 1 dan 2 KLIA.

Turut dibincangkan penambahbaikan pengurusan slot di lapangan terbang oleh Koordinasi Slot Negara (NSCM), selain penubuhan pasukan petugas bagi projek penggantian sistem menangani bagasi (BHS) untuk memantau kemajuan pelaksanaannya menerusi pelaporan berkala kepada kementerian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.