Peguam ibu Zara Qairina, 5 tertuduh remaja dibenar sertai prosiding inkues

Peguam ibu Zara Qairina, 5 tertuduh remaja dibenar sertai prosiding inkues

Peguam lima tertuduh remaja memfailkan permohonan semalam melalui Jabatan Peguam Negara, walaupun dibantah pasukan peguam Noraidah Lamat.

KOMPLEKS-MAHKAMAH-KOTA-KINABALU-230424
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu dimaklumkan semua dokumen berkaitan inkues akan diserahkan kepada peguam untuk diteliti sehari sebelum inkues bermula dan senarai saksi akan dimaklumkan selewat-lewatnya esok.
PETALING JAYA:
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu membenarkan permohonan pasukan peguam mewakili Noraidah Lamat, ibu Zara Qairina Mahathir menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian anaknya mulai Rabu depan.

Berita Harian melaporkan mahkamah turut membenarkan permohonan sama dibuat barisan peguam mewakili lima remaja didakwa terbabit kes buli Zara Qairina pada 20 Ogos lalu.

Kebenaran itu dibacakan Pengarah Mahkamah Sabah, Hakim Azreena Aziz yang bersidang sebagai koroner selepas pasukan peguam diketuai Hamid Ismail memfailkan permohonan pada 19 Ogos lalu, sehari selepas sebutan inkues berkenaan.

Peguam tertuduh pula memfailkan permohonan itu semalam melalui Jabatan Peguam Negara, walaupun dibantah pasukan peguam Noraidah.

Deklarasi itu membolehkan anak guam mereka memeriksa, menyoal balas saksi dan meneliti dokumen bagi membantu koroner.

Noraidah turut hadir sesi pendengaran permohonan pihak berkepentingan inkues hari ini

Pada sesi pendengaran permohonan itu, Noraidah diwakili pasukan peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan dan Farrah Nasser.

Lima tertuduh remaja itu pula diwakili peguam Ram Singh, Joan Goh, Prem Elmer Ganasan, Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah.

Pegawai pengendali inkues terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus.

Mahkamah Koroner turut dimaklumkan semua dokumen berkaitan inkues akan diserahkan kepada peguam untuk diteliti sehari sebelum inkues bermula dan senarai saksi akan dimaklumkan selewat-lewatnya esok.

Wakil Persatuan Undang-undang Sabah (SLS), Adrian Cham turut hadir sebagai pemerhati pada sesi hari ini dan ia akan terus bertindak sebagai pemerhati sepanjang prosiding inkues.

Pada 18 Ogos lalu, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan inkues selama 19 hari yang akan bermula 3 Sept ini bagi mencari punca kematian Zara Qairina.

Pada 20 Ogos lalu, lima remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina. Mereka didakwa mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai lalu selepas dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah itu, sebelum meninggal dunia di hospital keesokannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.