Kubur pelatih Palapes digali semula esok

Kubur pelatih Palapes digali semula esok

Ummu Haiman Bee Daulatgun berkata kubur anaknya akan digali semula pada 8 pagi Jumaat.

shah alam court
Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Syamsul Haris Shamsudin digali semula untuk menjalani bedah siasat kedua dalam tempoh 14 hari selepas jenazah dikeluarkan.
PETALING JAYA:
Proses penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin akan dilakukan esok.

“Penggalian semula kubur Syamsul ditetapkan pada 29 Ogos (Jumaat) pada 8 pagi,” kata ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menurut Harian Metro.

Sebelum ini, Ummu Haiman dilaporkan berharap kubur anaknya dapat digali semula dalam tempoh 48 jam selepas perintah mahkamah dikeluarkan kelmarin.

Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Syamsul di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih digali semula untuk bedah siasat kedua dalam tempoh 14 hari selepas jenazah dikeluarkan.

Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet ketika membenarkan permohonan Ummu Haiman turut memerintahkan bedah siasat dilakukan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur dengan kehadiran pakar forensik Dr Bhupinder Singh serta peguam keluarga, Naran Singh atau wakilnya.

Hakim turut memerintahkan pakar forensik mengeluarkan laporan bedah siasat dalam tempoh munasabah, dengan salinan laporan diserahkan kepada peguam keluarga.

Pada 19 Ogos lalu, Ummu Haiman mengemukakan permohonan menggali semula kubur anaknya bagi membolehkan bedah siasat kedua serta mencadangkan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.

Syamsul, 22, dilaporkan meninggal dunia 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram dan dikebumikan keesokannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.