
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan, berkata hukuman itu perlu dilakukan secara berhemah dengan disaksikan guru besar dan ibu bapa.

“Jika nak tambah baik saya cadangkan mungkin disertakan sekali ibu bapa atau penjaga semasa menjalankan hukuman rotan sebagai saksi,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid di Dewan Rakyat semalam, hukuman rotan diperkenalkan semula di sekolah bagi tujuan mendidik dan mencegah buli, namun dengan peringatan ia tidak boleh sehingga mencederakan.
Garis panduan hukuman rotan di sekolah mengikut Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 menetapkan ia hanya boleh dilaksanakan guru besar atau guru yang diberi kuasa dan hendaklah dilakukan secara tertutup.
Selain itu, ia hanya boleh dilakukan terhadap murid lelaki berusia 10 hingga 18 tahun serta rotan digunakan mestilah ringan serta bertujuan mendidik, bukan mencederakan, manakala murid perempuan dikecualikan.
Hukuman rotan juga tidak boleh dilaksanakan di khalayak atau di perhimpunan sekolah, seperti diperincikan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 7/2003 berkaitan Kuasa Guru Merotan Murid.
Mengulas lanjut, Mohamad bagaimanapun menegaskan merotan bukan satu-satunya jalan menangani isu disiplin termasuk kes buli sebaliknya pihak sekolah perlu menggunakan pendekatan ‘lebih lembut’ terhadap pelajar.
“Saya rasa sesi kaunseling lebih baik, adakan sesi kaunseling bersama pelajar, selain itu sekolah juga perlu sediakan nisbah yang sesuai untuk guru kaunseling dan jumlah pelajar,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ainol Madziah Zubairi, berbeza pendapat dengan berkata melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar adalah ‘langkah tidak bijak’.
Katanya, punca sebenar buli berakar daripada masalah psikologi pelajar yang gagal mengawal emosi, rasa lebih hebat berbanding orang lain serta pengaruh media seperti permainan video dan filem berunsur ganas.
Menurutnya, langkah lebih berkesan adalah menilai semula sistem pendidikan, khususnya pada peringkat awal kanak-kanak sehingga remaja dengan menekankan pendidikan akhlak, jiwa dan moral.
“Sebagai langkah ke hadapan dalam masa terdekat perlu diwujudkan sistem sokongan kepada pelajar sekolah dan remaja yang merasakan diri mereka mungkin mengalami gangguan akibat dibuli,” katanya.
Ainol turut mencadangkan KPM membangunkan aplikasi khas bagi membolehkan mangsa buli melaporkan tahap tekanan dialami sekali gus memberi maklumat awal kepada pihak berkuasa untuk mengesan, mencegah serta melaksanakan pemantauan sebelum kes buli menjadi lebih serius.