8 tapak bangun perumahan awam di KL dikenal pasti

8 tapak bangun perumahan awam di KL dikenal pasti

Pembangunan di tanah milik DBKL itu akan dilaksana berfasa dengan keutamaan kepada kawasan mempunyai permintaan tinggi.

Zaliha Mustafa
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, berkata rumah mampu milik mesti disepadukan dengan kemudahan asas seperti sekolah, klinik, ruang hijau, dan pengangkutan awam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) kenal pasti lapan tapak tanah bagi pembangunan Perumahan Awam Sewa Bersubsidi (PASS) dalam usaha memastikan golongan B40 terus memiliki akses kepada kediaman selamat, berdaya huni, dan inklusif di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, berkata inisiatif pembangunan di tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan memberi keutamaan kepada kawasan mempunyai permintaan tinggi.

“Lapan lokasi yang kita kenal pasti ialah Bandar Baru Sentul (0.57 hektar), Taman Desa (7 hektar), pekan Salak Selatan (1.58 hektar), Jalan Selimang, Cheras (1.36 hektar), Tasik Permaisuri (0.41 hektar), Taman Alam Damai (0.45 hektar), Wayfield Sungai Besi (0.82 hektar), dan Taman Desa Seputeh (1.12 hektar),” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Awang Sariyan yang ingin tahu perancangan kerajaan memastikan golongan rentan di ibu negara tetap mempunyai akses kepada kediaman selamat.

Di bawah inisiatif Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040), Zaliha berkata PASS diperkenalkan sebagai langkah menyokong golongan seperti warga emas, ibu tunggal, dan individu tidak berkemampuan membeli rumah di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, PTKL2040 menetapkan pelbagai strategi termasuk mewujudkan Zon Kediaman R4 seluas 353.53 hektar khusus untuk pembangunan rumah mampu milik termasuk perumahan awam, serta insentif nisbah plot kepada pemaju swasta yang menyediakan komponen rumah mampu milik (RMM) dalam projek bercampur.

“Kerajaan juga menekankan bahawa pembangunan RMM tidak boleh hanya tertumpu kepada kuantiti semata-mata, tetapi perlu disepadukan dengan kemudahan asas seperti sekolah, klinik, ruang hijau, dan pengangkutan awam agar persekitaran hidup lebih berkualiti,” katanya.

Zaliha berkata, kerajaan melaksanakan pendekatan kerjasama rentas agensi termasuk dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu golongan asnaf memiliki rumah melalui konsep sewa beli (RTO).

“Kerajaan juga bekerjasama dengan institusi kewangan yang menawarkan pinjaman antara generasi, membolehkan anak-anak membuat pinjaman bagi pihak ibu bapa yang sudah berusia dan tidak layak mendapat pinjaman perumahan biasa,” katanya.

Selain PASS, program lain seperti Residensi Madani, PR1MA, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), dan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) turut digerakkan sebagai sebahagian daripada pelan menyeluruh untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya inklusif, mampan, dan berdaya saing menjelang 2040.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.