
Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi, memaklumkan pusat gegaran dikesan berhampiran Segamat dan turut dirasai penduduk di daerah serta beberapa kawasan lain di Johor dan selatan Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) itu berkata, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan pihak berkuasa keselamatan bersama agensi berkaitan sedang memantau keadaan bagi memastikan Segamat dalam keadaan selamat, khasnya untuk orang awam.
“Orang ramai diminta bertenang, tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan mendapatkan perkembangan terkini melalui saluran rasmi seperti MetMalaysia serta agensi kerajaan berkaitan.
“Mereka juga digalak melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa dan JPBD Segamat akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, MetMalaysia mengesahkan gempa lemah bermagnitud 3.2 dikesan di Segamat pada 8.59 pagi tadi, dengan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Johor serta selatan Pahang.
Ahad lalu, MetMalaysia mengesahkan gempa lemah bermagnitud 4.1 berlaku di Segamat pada 6.13 pagi, disusuli gegaran kedua bermagnitud 2.8 di Yong Peng pada 9 pagi hari sama.