RUU Perolehan Kerajaan beri menteri kewangan kuasa terlalu besar, kata Hassan

RUU Perolehan Kerajaan beri menteri kewangan kuasa terlalu besar, kata Hassan

Ahli Parlimen PKR itu berkata, satu seksyen dalam RUU itu secara berkesan letak menteri kewangan mengatasi undang-undang.

hassan
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berpendapat, RUU Perolehan Kerajaan 2025 seolah-olah cuba diluluskan tanpa perbahasan yang wajar.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen penyokong kerajaan berkata, pemberian kuasa mutlak kepada menteri kewangan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 merupakan suatu ‘ancaman’ terhadap reformasi.

Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, di bawah perundangan yang dicadangkan itu, Parlimen tidak akan dapat membahaskan tender dan perolehan kerajaan.

“Satu seksyen dalam undang-undang ini secara berkesan meletakkan menteri kewangan mengatasi undang-undang,” katanya ketika membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.

Hassan yang terkenal dengan kelantangannya mengkritik kerajaan juga berpendapat, RUU itu seolah-olah cuba diluluskan tanpa perbahasan yang wajar.

Yeo Bee Yin (PH-Puchong) bagaimanapun tampil mempertahankan RUU itu, menyifatkan kritikan yang dilemparkan sebagai tidak adil dan berpunca daripada salah faham terhadap reformasi.

“Nak kata RUU ini mengekalkan status quo adalah seperti burung unta yang tanam kepala dalam pasir,” kata bekas menteri itu.

Beliau berkata, RUU itu memperkenalkan semakan dalaman, pemantauan dan ketelusan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Kalau baca betul-betul, RUU ini lebih tersusun, lebih telus,” tambahnya.

Katanya, penubuhan lembaga perolehan dan tribunal yang dicadangkan akan menambah peringkat penyeliaan dan semak imbang baharu.

Beliau menegaskan tahap ketelusan tribunal itu lebih tinggi berbanding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kerana ia terbuka untuk penelitian orang ramai.

Sementara itu, Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berpendapat, RUU tersebut tidak wajar digesa-gesakan memandangkan kepentingannya, dan sepatutnya dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Beliau menyuarakan kebimbangan mengenai kurangnya rundingan awam dan potensi percanggahan antara akta itu dengan enakmen perolehan negeri, khususnya yang ditadbir oleh PAS.

Selain itu, beliau turut meminta penjelasan sama ada undang-undang baharu ini akan mengambil alih sistem e-Perolehan semasa atau akan diguna pakai bersama-sama

Undang-undang yang dicadangkan itu bertujuan mengawal selia cara kerajaan membeli barangan dan perkhidmatan. Ia menetapkan peraturan yang jelas untuk tender, kontrak, dan pembayaran bagi menjadikan proses itu lebih telus dan adil.

RUU itu juga menggariskan hukuman untuk rasuah dan memberikan kuasa kepada sebuah tribunal baharu untuk mengendalikan pertikaian perolehan.

Para pengkritik berkata, ia memberikan terlalu banyak kuasa kepada menteri kewangan, termasuk keupayaan mengecualikan urus niaga tertentu daripada undang-undang itu, dan bahawa RUU tersebut dibahaskan dengan tergesa-gesa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.