
Beliau yang juga pengerusi PAC berkata, RUU itu sepatutnya dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi kerana ia dibentangkan tergesa-gesa tanpa libat urus dan penerangan mencukupi kepada Ahli Parlimen khususnya pembangkang.
Katanya, RUU itu juga memperlihatkan kuasa mutlak menteri termasuk meluluskan kontrak mega tanpa had kewangan dan mempengaruhi pelantikan lembaga perolehan yang dilihat amat membimbangkan kerana tiadaa semak dan imbang.
“Jadi, saya sebagai pengerusi PAC, saya amat bimbang dengan apa yang ada bawah RUU ini, macam mana kita hendak tahu, macam mana kita hendak percaya kalau tidak ada semak imbang sekiranya kuasa itu dikunci dalam satu tangan.
“Cukup-cukuplah dengan apa yang telah pun dipanggil dalam prosiding PAC sebelum ini,” katanya di Dewan Rakyat.
Terdahulu, beberapa pihak membabitkan badan pemikir seperti Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa RUU dibentangkan untuk bacaan kali kedua hari ini, melalui proses penelitian rapi sebelum diluluskan.
Dalam pada itu, Mas berkata peruntukan dalam RUU tersebut turut membuka ruang luas kepada rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan ketirisan sebagaimana sering didedahkan dalam prosiding PAC sebelum ini.
Beliau turut membangkitkan fasal berkaitan kuasa pegawai penyiasat yang disifatkan ‘melampau’ kerana membolehkan penggeledahan, rampasan dokumen dan data komputer tanpa waran, serta kuasa mahkamah yang terhad untuk memberi relief.
“Masjid Tanah menggesa untuk tangguh dulu, bukan kita tak setuju, kita setuju untuk dibuat tambah baik dari segi tatacara perolehan dan sebagainya,” katanya.