
Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mayat mangsa tanpa dokumen pengenalan diri itu ditemui pekerja hotel kira-kira 6 pagi tadi dalam keadaan terbaring berlumuran darah bersama rambut palsu berwarna perang.
Katanya, berdasarkan rakaman CCTV, kejadian berlaku pada 4.24 pagi apabila mangsa dikejar sebuah lori berwarna putih sebelum berlaku pergelutan dengan suspek yang memandu kenderaan itu.
“Mangsa kemudian terjatuh sebelum digilis dan ditinggalkan di tempat kejadian,” katanya yang dipetik Sinar Harian sebagai berkata.
Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat mangsa di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian disebabkan kecederaan kepala dan dada.
Abang Zainal berkata, berdasarkan rakaman CCTV polis telah mengenal pasti pemilik serta pemandu lori itu dan sedang mengesannya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.