Joehari letak jawatan presiden FAM

Joehari letak jawatan presiden FAM

Mohd Joehari Mohd Ayub dilantik presiden badan induk bola sepak negara selepas menang tanpa bertanding Februari lalu.

MOHD JOEHARI MOHD AYUB
Mohd Joehari Mohd Ayub merupakan presiden FAM kelapan serta individu pertama dari Sabah menerajui badan induk bola sepak negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Teka-teki mengenai status Mohd Joehari Mohd Ayub sebagai presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terjawab selepas sah melepaskan jawatan kerusi nombor satu badan induk itu.

FAM dalam kenyataan, mengesahkan Joehari telah menyatakan hasrat berkenaan menerusi surat peletakan jawatan dihantar, baru-baru ini.

Justeru, Jawatankuasa Eksekutif FAM dipanggil untuk mesyuarat khas kedua penggal 2025-2029 di Wisma FAM Kelana Jaya, hari ini, dipengerusikan Timbalan Presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi, bagi membincangkan perkara tersebut.

“Jawatankuasa Eksekutif FAM meneliti hasrat Joehari dalam mesyuarat berkenaan dan akhirnya akur untuk menerima peletakan jawatan presiden FAM bagi menghormati keputusan beliau.

“Jawatankuasa Eksekutif FAM berasa terharu dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Joehari atas segala sumbangan, jasa, dedikasi, dan komitmen beliau sepanjang bersama FAM sejak dipilih sebagai naib presiden pada 2017 dan seterusnya presiden pada 15 Feb 2025,” menurut kenyataan itu.

FAM pada masa sama mendoakan Joehari sentiasa dikurniakan kesihatan baik dan dapat terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara.

Sebelum ini, Joehari memegang jawatan naib presiden dan merupakan presiden FAM kelapan serta individu pertama dari Sabah menerajui badan induk bola sepak negara itu, menggantikan Hamidin Mohd Amin.

Joehari dilantik menggantikan Hamidin selepas menang tanpa bertanding pada Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025–2029, Februari lalu.

Dalam pada itu, FAM memaklumkan bahawa Jawatankuasa Eksekutif mereka bersetuju menamakan Yusoff sebagai pemangku presiden berkuat kuasa serta-merta, selaras dengan peruntukan dalam Statut FAM.

“Menurut Artikel 42 Perenggan 7 dalam Statut FAM, jika jawatan presiden kosong, timbalan presiden yang paling lama berkhidmat akan menggantikan sehingga kongres seterusnya iaitu tahun hadapan.

“Kongres tersebut akan memilih presiden baharu untuk baki tempoh penggal jawatan,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.