
Justeru Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) seru ibu bapa dan masyarakat turut bersama menangani masalah buli, kerana peranan menangani hal itu tidak semestinya di sekolah sahaja.
“Pada pendapat saya, ia juga berkaitan dengan filem-filem disiarkan sama ada melalui pawagam atau Netflix. Saya nampak cerita-cerita asas buli dan ‘ragging’ (penderaan) di asrama sedikit sebanyak mempengaruhi anak kita,” katanya di Dewan Rakyat.
Rosol dari Bersatu membuat seruan itu semasa membahaskan penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat berhubung isu buli di sekolah.
Terdahulu, jawatankuasa dianggotai wakil rakyat pemerintah dan pembangkang itu mengesyorkan kotak aduan buli wajib diwujudkan di sekolah berasrama, antara lain.
Jawatankuasa turut mengesyorkan Kementerian Pendidikan memastikan Garis Panduan Salah Laku Buli dipatuhi di setiap sekolah, dan mewujudkan jawatankuasa khas antibuli untuk memantau pematuhan.
Dalam pada itu, Rosol mencadangkan hukuman rotan diperkenalkan semula di sekolah bagi tujuan mendidik dan mencegah buli, namun dengan peringatan ia tidak boleh sehingga mencederakan.