Dakwaan pencapaian sekolah agama lebih baik bersandar data, kata wakil rakyat

Dakwaan pencapaian sekolah agama lebih baik bersandar data, kata wakil rakyat

Zakri Hassan kata sekolah agama menekankan pembangunan pelajar di sebalik sukatan pelajaran yang sama dengan sekolah kebangsaan.

Zakri Hassan
Ahli Parlimen Zakri Hassan gesa kerajaan bina lebih banyak sekolah agama bagi memenuhi permintaan. (Gambar Website)
PETALING JAYA:
Dakwaan bahawa pencapaian sekolah agama mengatasi sekolah kebangsaan bersandarkan pada data rasmi, menurut Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan.

Menurut wakil rakyat Bersatu ini, dakwaan itu berdasarkan data Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenai keputusan akademik empat buah sekolah agama di Perlis.

Katanya kepada FMT, empat sekolah itu antara lapan sekolah terbaik dari segi pencapaian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada 2023 dan 2024.

“Data diperoleh daripada JPN, dan ia menunjukkan purata gred pelajar yang mengambil peperiksaan,” kata Zakri.

Minggu lalu, Zakri memberitahu Dewan Rakyat bahawa sekolah agama mengatasi sekolah kebangsaan, lalu mencadangkan kerajaan membina lebih banyak sekolah agama untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada ibu bapa.

Beliau berkata ramai ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah Islam berdasarkan keputusan akademik sekolah dan pengajaran holistik. Bagaimanapun, hanya pelajar berprestasi tinggi yang diterima, manakala mereka yang tidak cemerlang dipindahkan ke sekolah-sekolah sekular.

Zakri, seorang bekas guru, berkata sekolah agama dan sekolah awam menggunakan sukatan pelajaran sama. “Tetapi sekolah agama lebih menekankan pembangunan pelajar, termasuk bagaimana menjadi warganegara yang jujur,” katanya.

Aktivis pendidikan, Noor Azimah Abdul Rahim, yang juga pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan, berkata ada sebab-sebab untuk meluaskan akses jika memang ada permintaan untuk sekolah-sekolah sedemikian.

Bagaimanapun, ia perlu seimbang dengan mengekalkan kepelbagaian dalam sistem pendidikan.

“Tumpuan berlebihan pada satu jenis sekolah boleh mengehadkan pendedahan pelajar kepada pandangan dunia yang lebih luas. Kurikulum yang terbatas boleh mengehadkan kemahiran STEM (sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik) dan pemikiran kritis,” katanya.

Beliau juga berkata hasil akademik bergantung pada kualiti pengajaran, sumber, dan kurikulum, bukannya jenis sekolah. Beliau berkata kajian Bank Dunia pada 2018 mendedahkan bahawa perbezaan dalam pencapaian akademik berkaitan dengan status sosioekonomi dan sumber.

Mak Chee Kin dari Kumpulan Tindakan Ibu Bapa di Melaka berkata memperbaiki sistem pendidikan secara keseluruhan adalah lebih baik, untuk memastikan peluang yang sama untuk semua pelajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.