Asean mesti teraju pekerjaan hijau bersama Australia, kata Sim

Asean mesti teraju pekerjaan hijau bersama Australia, kata Sim

Kerjasama serantau buka jutaan peluang pekerjaan, ketika Australia sokong inisiatif hijau berskala besar oleh Asean bawah kepengerusian Malaysia.

steven sim
Menteri Sumber Manusia Steven Sim, berkata pendekatan Asean berdasarkan konsensus menjadi model kerjasama yang membolehkan rantau ini melaksanakan penyelesaian secara praktikal. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri Sumber Manusia Steven Sim menyeru Asean menerajui usaha peralihan ke ekonomi hijau di rantau ini, dengan peringatan bahawa krisis ekologi dan ekonomi menuntut penyelesaian kolektif.

Berucap pada Forum Pekerjaan Hijau Asean (AGJF) 2025, Sim menggambarkan situasi semasa sebagai ‘paradoks kemandirian’.

“Di satu sisi, krisis ekologi dan ekonomi mendorong semua orang menjadi lebih insular dengan kecenderungan nasionalisme melampau. Namun, di sisi lain, krisis ekologi dan ekonomi hanya dapat diselesaikan apabila semua pihak bekerjasama,” katanya.

Forum bermula pada 27 Ogos itu menghimpunkan pegawai buruh, pembuat dasar, pemimpin industri, penyedia pendidikan, dan rakan sosial bagi meneroka tema ‘AI, Pendigitalan dan Pekerjaan Hijau: Memperkasakan Kemahiran dan Bakat Masa Depan untuk Asean’.

Sim berkata, pendekatan Asean berdasarkan konsensus menjadi model kerjasama yang membolehkan rantau ini melaksanakan penyelesaian secara praktikal.

“Asean mesti mempertahankan persahabatan kita yang panjang dan sudah berakar. Apabila negara-negara dipaksa memilih pihak tertentu, kita mesti berpegang teguh pada pemusatan Asean,” katanya.

Beliau memberi contoh projek seperti Grid Kuasa Asean dan pembayaran QR rentas sempadan sebagai bukti bahawa kerjasama serantau dapat mengimbangi kepentingan nasional dengan kemajuan bersama.

Sim turut menekankan usaha serantau bawah kepengerusian Malaysia, termasuk Rangka Kerja dan Pelan Tindakan Asean bagi Peralihan Adil dan Inklusif ke arah Pekerjaan Hijau (2025–2030) serta penubuhan Pusat Kecemerlangan Serantau Asean untuk Pekerjaan Hijau.

Menteri itu turut merujuk usaha Malaysia di peringkat domestik, menyatakan pelan peralihannya dirangka untuk mewujudkan peluang pekerjaan selain mempersiapkan tenaga kerja bagi industri masa depan.

“Menjelang 2050, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara menyasarkan penciptaan sehingga 300,000 peluang pekerjaan dalam bidang ekonomi hijau.

“ACWA Power (syarikat penyahgaraman air terbesar dunia) juga menandatangani memorandum persefahaman dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) untuk membangunkan sehingga 12.5 gigawatt kapasiti tenaga boleh diperbaharui di Malaysia menjelang 2040, disokong komitmen pembiayaan awal sehingga USD10 bilion,” katanya.

Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), pelaburan RM611 bilion berpotensi mewujudkan 1.2 juta pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh lima tahun, yang sebahagian besarnya melibatkan pekerjaan hijau.

Katanya, sejak 2020, portal MyFutureJobs kerajaan mengiklankan 120,000 pekerjaan hijau, dengan 30% jawatan peringkat profesional menawarkan gaji bulanan lebih RM4,000.

Australia ikrar bantu

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke, mengulangi sokongan negaranya pada agenda pekerjaan hijau Asean.

“Kami menyokong kepengerusian Asean oleh Malaysia dalam bidang politik, keselamatan, ekonomi, dan sosial serta melalui penganjuran acara seperti ini.

“Cabaran terbesar bagi kita bukannya cetusan idea, tetapi bagaimana untuk melaksanakannya. Kami berhasrat bekerjasama dengan anda dalam strategi berkaitan pengurusan perubahan, selain isu lain,” katanya.

Beliau berkata, peralihan hijau Asean berpotensi menambah antara USD3 trilion hingga USD5.3 trilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta mewujudkan sehingga 63 juta pekerjaan menjelang 2050, namun mengingatkan kegagalan bertindak mampu menyebabkan rantau ini kehilangan sehingga 30% daripada KDNK menjelang hujung abad.

Heinecke turut menarik perhatian pada inisiatif Aus4Asean Futures bernilai AD204 juta, iaitu program utama di bawah Perkongsian Strategik Menyeluruh dengan Asean yang menyokong usaha mencapai karbon sifar bersih, pembiayaan hijau, dan prasarana tenaga bersih.

Beliau berkata, Australia juga membiayai biasiswa dan latihan, dengan lebih 400 profesional TVET Asean dilatih dalam kemahiran hijau dan kecerdasan buatan (AI).

Pesuruhjaya tinggi itu berkata, pendidikan kekal sebagai teras hubungan Australia-Asean, memaklumkan sekitar 300,000 pelajar rantau ini dijangka melanjutkan pengajian di Australia tahun hadapan, meningkat 9%.

“Malaysia mempunyai lebih banyak universiti Australia berbanding tempat lain di dunia. Malah, di Sarawak sahaja ada dua, dan kami sangat gembira kerana ia terus menjadi pusat pendidikan,” katanya, merujuk pada kampus Swinburne University of Technology di Kuching dan Curtin University Malaysia di Miri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.