
“Lembaga pengarah syarikat ingin mengumumkan bahawa kontrak CEO ditamatkan hari ini. Surat penamatan telah dikeluarkan kepadanya,” katanya dalam satu pengumuman di Bursa Malaysia.
Dalam satu pengumuman berasingan, anak syarikat perladangan Lembaga Tabung Haji itu hanya menyatakan bahawa penyingkiran Zainurin daripada jawatan tersebut adalah kerana salah laku.
Keputusan itu dibuat sebulan selepas Zainurin dan Ketua Pegawai Kewangan TH Plantations, Marliyana Omar diberikan surat tunjuk sebab berhubung dakwaan pembayaran tidak sah berjumlah RM5.1 juta kepada pekerja ladang.
Zainurin diarahkan bercuti manakala Marliyana memilih untuk meletak jawatan.
Zainurin dilantik sebagai CEO TH Plantations pada Oktober 2021. Beliau sebelum itu pernah berkhidmat sebagai pengawal kewangan di New Britain Palm Oil Ltd, sebuah unit Sime Darby Plantation Bhd di Papua New Guinea.
Beliau juga pernah memegang jawatan naib presiden kanan di sebuah unit agromakanan milik Khazanah Nasional Bhd.