
Yayasan tersebut dinaungi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Berlangsung dari 1 hingga 7 Sept depan di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi, Pekan, temasya julung kali itu bakal disertai peserta dari Turkiye serta beberapa negara Asean seperti Laos, Singapura dan Indonesia.
Dalam kenyataan, Yayasan Tenun Pahang Diraja memaklumkan temasya bertaraf antarabangsa itu merangkumi pelbagai aktiviti seperti bengkel kraf, demonstrasi interaktif, pameran kraf, demonstrasi makanan warisan, tarian tradisional serta Pertandingan Piala Tunku Azizah–Tenun Pahang Diraja.

Sultan Pahang dijangka merasmikan temasya berkenaan di Muzium Maritim, Pekan, pada 8.30 malam, 31 Ogos, yang turut menyaksikan pelancaran Yayasan Warisan Tunku Azizah serta penyampaian Hadiah Piala Tunku Azizah.
Turut memeriahkan acara ialah Pameran Lukisan Jiwa oleh penyanyi tersohor tanah air, M Nasir.
Antara bengkel kraf yang bakal dianjurkan termasuk batik blok, batik lukis, batik clay, batik linut, batik eco-print, batik ikat dan celup, ukiran kayu, seni jahitan kreatif, anyaman mengkuang dan anyaman rotan.
Seni telepuk, gerus, kelingkam, seramik, tenunan sutera Lao PDR (silk reeling), sulaman, pewarnaan semula jadi (natural dye), serat nanas dan serat kenaf.
Menariknya, Tunku Azizah sendiri dijadualkan mengadakan demonstrasi masakan.
Selain itu, Temasya Warisan Pahang turut menampilkan Pameran Warisan Gastronomi dan Kulinari Pantai Timur, Pameran Tiffin (mangkuk tingkat) serta pameran lukisan.
Seni kraf masyarakat Orang Asli juga diketengahkan, antaranya ukiran patung suku kaum Jahut, anyaman selempang suku kaum Semelai, anyaman tikar dan pembuatan bakul rotan.
Tidak ketinggalan, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan Dikir Pahang, Gendang Silat Pahang, muzik tradisional Usari Pinang Dara serta persembahan budaya dari Sarawak.
Penganjuran Temasya Warisan Pahang ini mendapat sokongan Muzium Pahang dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.