
Dalam satu kenyataan, My Mobility Vision berkata reka bentuk RUU yang dicadangkan itu, disifatkan sebagai ‘sangat cacat’.
Menurutnya, ia menyamakan pemandu e-panggilan dengan pereka bebas, penunggang penghantaran dengan wartawan, penjaga dengan pengaturcara komputer. Semuanya di bawah satu payung.
Katanya, tiada negara yang pernah cuba mengawal semua jenis kerja gig dalam satu masa.
“Singapura bermula dengan e-panggilan dan penghantaran. Ini adalah segmen yang paling terdedah sebelum diperluas ke pekerja gig lain.
“Pendekatan menyeluruh Malaysia hampir pasti akan menimbulkan kekeliruan dan pertikaian,” kata kenyataan itu.
My Mobility Vision berkata caruman mandatori Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang ditolak oleh platform, kelihatan progresif atas kertas tetapi secara praktikalnya memindahkan kos terus kepada pekerja.
Katanya, bergantung kepada individu, seorang pekerja gig boleh mendapat gaji lebih rendah walaupun layak mendapat perlindungan, manakala mereka yang melengkapkan kurang daripada 90 tugasan mungkin tidak mendapat sebarang perlindungan.
Menurutnya, pekerja gig yang terlepas buat caruman Perkeso juga berisiko ditolak tuntutan mereka, sambil menambah ramai penunggang penghantaran mendakwa tuntutan mereka ditolak disebabkan syarat ketat dan kerenah birokrasi.
“Bagi sesetengah pihak, RUU ini mungkin memberi kepastian. Tetapi bagi berjuta-juta yang lain seperti pekerja sambilan, pelajar, pekerja bebas dan syarikat pemula. ia berisiko mengurangkan pendapatan, menutup peluang, dan mempercepatkan monopoli.”
RUU Pekerja Gig 2025, yang dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat semalam, bertujuan melindungi hak pekerja gig dengan mengawal selia perjanjian perkhidmatan dengan syarikat, menetapkan tanggungjawab mereka, serta memperkenalkan mekanisme penyelesaian pertikaian.
Ia juga mencadangkan penubuhan sebuah majlis perundingan dan tribunal pekerja gig bagi memantau hal berkaitan.
Walaupun terdapat kelemahan, My Mobility Vision berkata RUU itu tidak wajar ditolak tetapi dilaksanakan dengan betul.
“Tragedi di sini bukan kerana kerajaan mahu melindungi pekerja gig tetapi kerana tergesa-gesa menggubal undang-undang itu, mereka mungkin mengkhianati mereka,” katanya.
Badan pemikir itu mencadangkan supaya melaksanakan analisis impak peraturan seperti yang diwajibkan di bawah kerangka amalan peraturan baik Malaysia dan mengulangi gesaan agar suruhanjaya ekonomi gig diberi kuasa.
“Mulakan dengan sektor berisiko dan berintensiti tinggi seperti e-panggilan dan penghantaran, kemudian perluaskan.
“Bina faedah mudah alih yang boleh diikuti pekerja merentasi platform, dan pastikan caruman ditanggung bersama oleh kerajaan dan platform, bukan ditolak sepenuhnya kepada pekerja,” katanya.