Rakam, simpan video lucah, penganggur dipenjara 10 bulan, denda RM5,000

Rakam, simpan video lucah, penganggur dipenjara 10 bulan, denda RM5,000

P Naagiran didakwa sembunyi kamera rakam wanita di dalam tandas pada 2022.

gavel
Majistret Amira Abd Aziz perintah P Naagiran, 28, dipenjara bermula hari ini. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Seorang penganggur dihukum penjara 10 bulan dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah merakam serta menyimpan ratusan gambar dan video lucah dalam telefon bimbitnya.

Majistret Amira Abd Aziz menjatuhkan hukuman itu ke atas P Naagiran, 28, serta memerintahkan dia dipenjarakan bermula hari ini. Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara 12 bulan lagi.

Naagiran didakwa meletakkan kamera tersembunyi di dalam tandas dengan niat menghina kehormatan dan mengganggu kesantunan seorang wanita di sebuah pangsapuri di Jalan San Peng pada 9.45 malam, 24 April 2022.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, tertuduh turut didakwa memiliki 108 video lucah dan 374 gambar lucah dalam telefon bimbit yang ditemui ketika siasatan di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah, IPD Dang Wangi pada 9 pagi, 26 April 2022.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Ravindejit Kaur memohon hukuman setimpal memandangkan kesalahan tertuduh mencabul privasi mangsa serta mengganggu keselamatan awam.

Bagaimanapun, peguam S Balasubrameniam yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menjaga ibu yang sudah tua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.