
Bagaimanapun, seorang Ahli Parlimen Sarawak, Mordi Bimol mendedahkan premis berkenaan sebenarnya adalah pusat perjudian yang berselindung sebalik kedai kopi dan kini menjejaskan institusi keluarga di negeri itu.

Ahli Parlimen Mas Gading itu berkata premis itu yang digelar penduduk sebagai ‘rumah kuning’ kini tumbuh bak cendawan selepas hujan di kawasan bandar dan kampung di Sarawak.
Katanya, kedai itu hanya menjual mi segera dan minuman, namun secara rahsia dijadikan sebagai pusat perjudian dalam talian yang beroperasi 24 jam.
“Kedai ini biasanya ada papan tanda kuning dengan nama lucu (dan) dibuka 24 jam untuk jual token perjudian dalam talian yang dijalankan di situ. Ia agak terkenal dalam kalangan penduduk tempatan,” kata Mordi kepada FMT.
Beliau berkata kedai-kedai ini berfungsi sebagai pusat untuk kaki judi berkumpul, membeli token dan mengakses internet.
Katanya, kegiatan itu mula dikesan di Kuching dan kawasan bandar tetapi premis seperti itu kini sudah merebak ke luar bandar.
“Kini ia bukan sahaja ada di bandar. Mereka mula masuk ke kawasan pedalaman, beroperasi bersama kedai runcit tempatan.”
Wakil rakyat DAP itu turut mempersoalkan bagaimana premis tersebut boleh mendapat kelulusan sebagai kedai makanan dan minuman. “Siapa yang bertanggungjawab membenarkan kedai ini wujud?” soalnya.
Mordi berkata beliau sudah beberapa kali membawa isu itu kepada pihak berkuasa tempatan, namun hanya dirujuk semula kepada pejabat daerah yang mengeluarkan lesen perniagaan.
Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengakui peningkatan pusat perjudian haram yang berselindung disebalik kedai kopi di Sarawak.
Kata Saifuddin, pihak berkuasa telah melakukan 509 serbuan ke atas premis di seluruh Sarawak antara Januari hingga Julai, dengan 535 tangkapan dibuat.
Meruntuhkan institusi keluarga
Mordi berkata pusat perjudian ini memberi kesan buruk kepada institusi keluarga kerana ramai pelanggan sanggup berhutang untuk mendapat untung besar.
Naib pengerusi DAP Sarawak itu berkata masalah itu bukan sahaja melibatkan golongan bekerja, malah pelajar sekolah dan warga emas turut terjebak dengan aktiviti perjudian itu.
“Sepuluh keluarga datang ke pejabat saya untuk minta bantuan bagi menyelesaikan masalah hutang dengan along.
“Ia juga menyebabkan masalah sosial lain seperti perceraian. Pelajar sekolah, belia, malah warga emas pun masuk ke kedai ini,” katanya.
Mordi berkata kewujudan pusat perjudian ini secara berleluasa mencerminkan kelemahan penguatkuasaan, dan beliau menggesa undang-undang lebih berkesan digubal bagi membanteras aktiviti perjudian haram.