
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata pihaknya percaya warga asing itu dapat dikesan dalam masa terdekat.
“Kita masih memohon bantuan daripada pihak rakan-rakan dan saya percaya kita akan mendapatkannya secepat mungkin,” katanya selepas merasmikan Dialog Khas Ke-3 PDRM 2025 di sini.
Mengulas dakwaan seorang individu dikaitkan dengan serangan terhadap anak lelaki Ahli Parlimen Pandan itu, Khalid berkata perkara itu masih dalam siasatan.
“Ini (dakwaan) kita tidak dapat nak pastikan. Ia masih dalam siasatan.”
Jumaat lalu, Bernama melaporkan polis sudah mengenal pasti nombor telefon digunakan untuk menghantar mesej ugutan kepada isteri Rafizi, yang didaftarkan atas nama seorang warga asing dan polis giat mengesan individu terbabit.
Ditanya sama ada polis sudah mengenal pasti jenis cecair disuntik ke badan anak Rafizi, beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan kimia daripada hospital.
Pada 13 Ogos lalu, media melaporkan anak Rafizi berusia 12 tahun diserang dua lelaki bermotosikal yang disyaki menyuntik cecair ke tangan kirinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar dilaporkan berkata, kejadian berlaku pada 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di pusat beli-belah itu.