
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan seperti dalam kes Zara Qairina Mahathir proses kini dilaksanakan tanpa kompromi melibatkan kerjasama antara majistret, pasukan perubatan, keluarga, dan polis.
“Sebaik sahaja arahan diberikan oleh peguam negara, polis memfasilitasi proses tersebut secepat mungkin.
“Ini membuktikan komitmen tinggi pasukan polis dalam melaksanakan tanggungjawab tanpa kompromi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutup dialog khas PDRM III 2025 di Sime Darby Convention Centre.
Saifuddin berkata, tindakan pantas polis mencerminkan integriti dan dedikasi mereka dalam memastikan kehendak kehakiman dipatuhi sepenuhnya serta keadilan dan hak keluarga Allahyarham diberi keutamaan.
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan kubur Syamsul, 22, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor, digali semula.
Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibunya Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Semasa membaca keputusan berkenaan, Bhupindar Singh berkata responden pertama iaitu ketua polis negara atau pegawainya akan menyelia proses penggalian semula jasad anak sulung Ummu Haiman itu bagi menjalankan bedah siasat kedua.
Pada 19 Ogos lalu, Ummu Haiman mengemukakan permohonan itu antaranya bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.
Syamsul dilaporkan meninggal dunia 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu.