PGA rampas ganja mampat RM300,000 ditinggal tepi jalan

PGA rampas ganja mampat RM300,000 ditinggal tepi jalan

Rampasan dilakukan tengah malam semalam dalam Op Taring Wawasan Kedah/Perlis.

Shahrum Hashim
Menurut Komander PGA Briged Utara Shahrum Hashim, ganja mampat seberat kira-kira 10kg yang dirampas itu dipercayai diperoleh daripada sindiket di Thailand. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas 10 ketulan mampat dadah jenis ganja bernilai RM300,000 yang ditinggalkan di bahu jalan di Padang Besar, semalam.

Dadah terbabit ditemui kira-kira 12.45 tengah malam ketika anggota Cawangan Risik Batalion 1, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak menjalankan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis.

Anggota terbabit sebelum itu mengesan sebuah kereta jenis Toyota Vios hitam dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan menghala ke Wang Kelian.

Menurut Komander PGA Briged Utara, Shahrum Hashim, berkata pemandu itu kemudiannya memecut laju bagi mengelakkan ditahan.

“Kita cuba mengejar kereta itu tetapi gagal. Pemeriksaan di kawasan semak berhampiran lokasi itu kemudiannya menemui satu guni putih yang ditinggalkan di tepi jalan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kandungan guni itu mengandungi 10 ketulan mampat disyaki ganja seberat kira-kira 10kg,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Harian Metro.

Beliau berkata nilai anggaran rampasan itu adalah sekitar RM300,000 dan dadah terbabit dipercayai diperoleh daripada sindiket di Thailand.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain itu, dari Januari hingga Ogos tahun ini, kita sudah melakukan rampasan dadah sebanyak 60.4kg membabitkan ganja bernilai RM1.81 juta.

“Empat lelaki warga asing juga ditahan di sempadan Malaysia–Thailand,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.