
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata permohonan akan disemak dan dipertimbangkan secara wajar, dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk pengusaha serta ibu bapa.
“Pertimbangan turut merangkumi aspek lokasi, kemudahan disediakan serta kelayakan guru. Ini bertujuan memastikan tadika swasta kekal menyediakan perkhidmatan prasekolah berkualiti dan berpatutan,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Negara.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Nelson W Angang yang ingin tahu bagaimana kerajaan mengawal kenaikan yuran prasekolah, khasnya dalam sektor swasta dan kawasan bandar serta langkah menyelesaikan isu gaji guru prasekolah tidak mengikut kadar gaji minimum.
Fadhlina berkata, semua tadika swasta yang menyediakan pendidikan prasekolah untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun wajib berdaftar di bawah Seksyen 20 Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] dan tertakluk kepada kelulusan yuran serta bayaran lain oleh KPM.
Menurutnya, kadar yuran yang diluluskan penting bagi kelangsungan pengoperasian institusi itu, selaras Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan.
Dalam usaha menyokong keluarga berpendapatan rendah, katanya, KPM turut menyediakan bantuan yuran sekali beri kepada murid B40 di tadika swasta.
“Untuk 2025, seramai 1,106 murid B40 menerima manfaat bantuan ini, dengan jumlah RM1,175.40 setiap seorang bagi tempoh pembelajaran setahun, khususnya di Sabah, Sarawak dan Kelantan.”
Mengulas kebajikan guru tadika swasta, beliau berkata, dasar gaji minimum RM1,700 yang ditetapkan Kementerian Sumber Manusia turut terpakai kepada sektor tadika swasta.
“KPM menyambut baik dasar yang selaras syarat kelayakan minimum guru tadika, iaitu diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak. Kita juga yakin tindakan penguatkuasaan akan meningkatkan kesedaran dan pematuhan dalam kalangan pengusaha tadika.”