
Menurut C4, RUU yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam itu memberikan kepada menteri “budi bicara yang berlebihan” dan “menyematkan percanggahan kepentingan”.
Badan pemantau anti-rasuah itu turut menyatakan RUU ini akan mewujudkan sebuah daftar yang terdedah kepada salah guna, dan memberikan pegawai Perbendaharaan kuasa penyiasatan yang mana pegawai polis perlu laksana dengan kawal guna yang ketat.
“Kelemahan-kelemahan ini langsung bertentangan dengan objektif RUU yang dinyatakan iaitu meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban,” menurut kenyataan.
C4 turut melahirkan kebimbangan RUU tersebut akan diluluskan tanpa perdebatan dan maklum balas yang mencukupi, kerana sesi Dewan Rakyat sekarang akan berakhir pada Khamis.
Menurutnya, RUU itu memberikan kuasa membuat keputusan yang meluas kepada menteri kewangan, dan kuasa sama diberikan kepada ketua menteri di negeri-negeri.
“Fasal 10(1)(a), dibaca bersama dengan Jadual 1 RUU, memberikan menteri dan ketua menteri kuasa untuk meluluskan kontrak perolehan yang bernilai melebihi RM50 juta untuk barangan dan perkhidmatan, dan RM100 juta untuk kerja-kerja, tanpa had atas,” tambah C4.
Pada masa ini, had perolehan kerajaan ditetapkan melalui pekeliling Perbendaharaan, dengan had ambang berdasarkan jenis proses tender dan sifat perolehan.
Biasanya, ia akan melalui lembaga penilaian tender lantaran protokol standard. Bagaimanapun, RUU yang dicadangkan ini secara eksplisit mengalihkan kuasa membuat keputusan ke tangan menteri.
C4 juga menyatakan menteri tidak terikat dengan cadangan Lembaga Perolehan di bawah RUU ini, dan keputusan menteri adalah muktamad dan mengikat.
Lembaga itu dibenarkan untuk meluluskan kontrak antara RM500,000 dan RM50 juta untuk barangan dan perkhidmatan, dan antara RM500,000 dan RM100 juta untuk kerja-kerja.
Walaupun RUU ini menetapkan ahli lembaga harus mendedahkan sebarang percanggahan kepentingan, perkara sama tidak terpakai kepada menteri, menurut C4.
C4 turut menambah tribunal rayuan dan proses yang diwujudkan di bawah RUU ini bawah pengaruh langsung menteri kewangan.
“Badan sebegini mestilah bebas daripada badan eksekutif kerana aduan dan pertikaian yang dibawa akan melibatkan kerajaan,” katanya, menambah menteri kewangan juga mempunyai kuasa untuk melantik ahli tribunal.
C4 menyatakan bahawa Pendaftar Perolehan Kerajaan yang dicadangkan, bagi menyelia daftar pembekal dan kontraktor, mempunyai kuasa budi bicara yang luas untuk meluluskan atau menolak permohonan pendaftaran, dan untuk mengenakan sebarang syarat yang difikirkan sesuai.
“Tanpa garis panduan yang jelas, tiada kewajipan mengikat untuk memberikan respons pada rayuan, dan tiada saluran semakan bebas, pejabat pendaftar secara efektif beroperasi tanpa kebertanggungjawaban,” katanya.
Kuasa penyiasatan
C4 menyatakan RUU ini membenarkan pegawai Perbendaharaan atau pihak berkuasa kewangan negeri untuk menjadi ‘pegawai separa-polis’, tanpa had seperti yang ditetapkan bawah Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
KTJ, sebagai contoh, menghadkan hanya pegawai berpangkat inspektor ke atas boleh melakukan pencarian tanpa waran dan mengakses data komputer.
“Di sini timbul persoalan mengenai perkadaran: adakah kesalahan bawah RUU ini begitu serius sehingga pegawai Perbendaharaan yang diberi kuasa memerlukan kuasa yang lebih besar daripada pegawai polis, dan dengan batasan yang kurang?”
C4 berkata pegawai yang diberi kuasa juga daripada Perbendaharaan atau pihak berkuasa kewangan negeri, iaitu institusi yang sama diselia oleh menteri atau eksekutif negeri.
“Tanpa badan penyiasatan yang bebas, RUU ini secara efektif mengamanahkan penguatkuasaan kepada mereka yang berada dalam rantaian arahan di mana keputusan mengenai perolehan dibuat,” katanya.
Ia juga menekankan beberapa kelemahan dan pengecualian di bawah RUU yang dikatakan boleh melemahkan ketelusan dan kebertanggungjawaban.