AS belum perinci pelaksanaan pindah kapal

AS belum perinci pelaksanaan pindah kapal

Aktiviti pindah kapal dengan barangan/produk dikenal pasti AS boleh dikenakan tarif 40% menggantikan kadar timbal balas dikenakan ke atas barangan negara asal.

kapai
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata aktiviti pindah kapal tidak bercanggah perundangan mana-mana negara kerana ia sebahagian strategi perniagaan global. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Aktiviti ‘transhipment’ atau pindah kapal masih belum diperjelaskan sepenuhnya dari segi pelaksanaan penguatkuasaan berikutan Amerika Syarikat (AS) belum menggariskan secara terperinci kategori aktiviti itu, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

Dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, Miti berkata pada 31 Julai, Presiden AS Donald Trump mengumumkan Arahan Eksekutif baharu mengenai penetapan kadar tarif timbal balas terhadap negara rakan dagang, dengan Malaysia dikenakan 19% berkuat kuasa 7 Ogos lalu.

“Arahan Eksekutif itu turut menyentuh aktiviti pindah kapal dengan barangan/produk yang dikenal pasti oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS boleh dikenakan tarif sebanyak 40% menggantikan kadar tarif timbal balas yang dikenakan ke atas barangan dari negara asal.

“Aktiviti pindah kapal tidak bercanggah dengan perundangan mana-mana negara kerana ia merupakan sebahagian daripada strategi perniagaan global.

“Bagaimanapun, pindah kapal yang melibatkan penyelewengan Sijil Tempasal (COO) bagi memintas atau mengelak duti import adalah perbuatan yang melanggar peraturan,” katanya bagi menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol mengenai kesan kadar tarif AS terhadap jumlah pengendalian kargo pindah kapal di pelabuhan utama Malaysia.

Miti berkata, pihaknya telah mengambil alih sepenuhnya pengeluaran Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) bagi produk Malaysia yang dieksport ke pasaran AS berkuat kuasa 6 Mei lalu, yang sebelum ini dikeluarkan oleh badan perniagaan.

Antara kriteria NPCO yang ditambah baik termasuk barangan mesti diperoleh atau dihasilkan sepenuhnya di Malaysia, mempunyai sekurang-kurangnya 25% kandungan tempatan serta melalui perubahan ketara dalam klasifikasi tarif, katanya.

Miti juga telah mengambil beberapa langkah kawalan selain pemusatan COO seperti peningkatan audit dan verifikasi ke atas syarikat pengeksport, termasuk lawatan pemeriksaan kilang bagi memastikan pematuhan kepada peraturan tempasal.

Selain itu, kementerian turut menjalin kerjasama erat dengan pihak berkuasa AS, termasuk CBP, untuk berkongsi maklumat serta bertindak terhadap mana mana syarikat yang dikesan cuba menggunakan Malaysia bagi tujuan ‘origin-washing’.

Miti berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa di samping memastikan Malaysia kekal sebagai hab logistik yang berintegriti, telus dan dipercayai di rantau Asia Tenggara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.