Arul Kanda mohon akses perjanjian Jho Low dengan DoJ

Arul Kanda mohon akses perjanjian Jho Low dengan DoJ

Bekas CEO 1MDB berkata, dana yang dipertikaikan dalam saman sivil terhadapnya sudah diperoleh semula oleh 1MDB dan Putrajaya.

arul kanda kandasamy
Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata, syarikat itu guna proses pelucuthakan oleh DoJ sebagai asas dakwaan dana diseleweng, namun gagal maklumkan bahawa kes-kes itu sudah capai penyelesaian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy sedang berusaha mendapatkan akses kepada perjanjian penyelesaian antara Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dengan ahli perniagaan yang sedang diburu, Low Taek Jho (Jho Low).

Menerusi afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonannya, Arul berkata, akses kepada perjanjian pada 2019 dan 2024 itu adalah mustahak untuk pembelaan dirinya dalam saman bernilai USD6.59 bilion yang difailkan 1MDB terhadapnya dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah.

Menurut laporan The Edge, beliau turut memohon penyata akaun terkini dana yang diperoleh semula oleh Putrajaya, Perbendaharaan dan 1MDB hasil pelbagai penyelesaian serta tindakan undang-undang.

Arul berkata, 1MDB bergantung pada proses pelucuthakan oleh DoJ sebagai asas dakwaan bahawa dana telah diselewengkan, namun syarikat itu didakwa gagal mendedahkan bahawa kes-kes berkaitan sebenarnya sudahpun mencapai penyelesaian.

“Plaintif sepatutnya mendedahkan perjanjian penyelesaian ini, tetapi jelas telah menyembunyikan butiran ini kerana ia akan memberi kesan yang besar kepada kes plaintif mengenai isu liabiliti serta kuantum,” katanya.

Arul berkata, walaupun dakwaan DoJ menunjukkan sejumlah USD700 juta dikatakan telah dialihkan kepada Good Star Ltd yang dimiliki Low, ia bukanlah satu fakta yang telah disahkan di mahkamah.

Beliau menegaskan, 1MDB dan Putrajaya sudahpun memperoleh semula dana yang menjadi pertikaian, menuduh kedua-dua pihak itu cuba membuat ‘tuntutan berganda’ menerusi saman sivil itu.

“Dokumen-dokumen berkenaan akan membuktikan, walaupun mengetahui tentang penyelesaian antara DoJ dan Low pada 2019, pihak plaintif tetap meneruskan tuntutan ini terhadap saya pada 2021 bagi dana sama yang telahpun diperoleh semula oleh DoJ,” katanya.

Peguam mewakili Arul, Adam Leong, hari ini memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung afidavit dan permohonan untuk mendapatkan dokumen-dokumen itu.

Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan berkata, pihaknya akan meneliti permohonan itu, namun menyuarakan hasrat untuk menyelesaikan pendengaran saman tersebut memandangkan perbicaraan hanya berbaki empat hari.

Pendengaran akan bersambung pada 10 Sept, di mana mahkamah akan menangani permohonan Arul.

Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman mendakwa Arul dan Irwan yang juga bekas pengerusi 1MDB melakukan pecah amanah dan subahat yang didakwa menyebabkan kerugian USD1.83 bilion, dikaitkan dengan pelaburan syarikat dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd.

1MDB turut mendakwa kedua-dua mereka menyalahgunakan dana syarikat berjumlah USD3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments, serta USD1.265 bilion lagi yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company pada 9 Mei 2017.

Selain itu, 1MDB mendakwa Irwan bersubahat dengan Arul untuk melanjutkan kontrak perkhidmatan Arul, menyebabkan pembayaran RM2,905,200 dibuat kepadanya tanpa mengendahkan kepentingan syarikat, sekali gus mengakibatkan kerugian kewangan.

Syarikat itu menuntut ganti rugi USD6.59 bilion daripada kedua-dua individu itu, serta tuntutan tambahan RM2.9 juta daripada Irwan berhubung lanjutan kontrak perkhidmatan tersebut.

Dalam pembelaannya, Arul menyatakan beliau menyerahkan kepada pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menyiasat sebarang salah laku dalam syarikat.

Katanya, peranan beliau sebagai CEO adalah untuk melaksanakan pelan rasionalisasi bagi memulihkan syarikat, menyelesaikan hutang-piutang sedia ada, dan menggerakkan semula projek-projek tertangguh, termasuk Bandar Malaysia dan TRX Development.

Sementara itu, Irwan yang dilantik sebagai pengerusi 1MDB oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) pada Mei 2016 berkata, beliau dilantik khusus untuk menerajui syarikat dalam melaksanakan pelan rasionalisasi tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.