173,224 akaun keldai dikenal pasti setakat 2025

173,224 akaun keldai dikenal pasti setakat 2025

Polis perkukuh pemantauan akaun keldai melalui kerjasama strategik bersama agensi lain dan institusi kewangan, kata Timbalan Menteri Shamsul Anuar Nasarah.

Scammer-Hacker
Timbalan Menteri Shamsul Anuar Nasarah kata 173,224 akaun keldai dikenal pasti antara 2022 hingga Julai 2025.
PETALING JAYA:
Sebanyak 173,224 akaun keldai dikenal pasti antara 2022 hingga Julai 2025, Dewan Negara diberitahu berhubung kes jenayah penipuan dalam talian.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah berkata polis memperkukuh pemantauan akaun keldai dan tindakan penguatkuasaan melalui kerjasama strategik bersama agensi lain dan institusi kewangan, bagi menghalang aktiviti jenayah berulang dan mengheret penjenayah ke muka pengadilan.

Kerjasama itu juga untuk “meningkatkan kesedaran dan keyakinan rakyat untuk bersama dengan pihak berkuasa,” katanya lapor Bernama, ketika menjawab pertanyaan Senator Norhasmimi Abdul Ghani.

Norhasmimi ingin mengetahui langkah kerajaan menangani sindiket akaun keldai, serta insentif khusus atau bentuk perlindungan disediakan kepada pemberi maklumat yang membantu membongkar sindiket penipuan.

Menurut Shamsul, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpandangan belum ada keperluan untuk memperkenalkan insentif khusus kepada pemberi maklumat, namun keperluan ini akan dikaji dari semasa ke semasa.

Berkenaan aktiviti pencegahan jenayah siber pula, Shamsul berkata 11,753 pameran dan ceramah direkodkan sehingga 31 Julai, dalam usaha menangani isu berkenaan dan memberi kesedaran kepada rakyat.

Mengulas perkembangan lain, Shamsul melaporkan kepada Dewan Negara bahawa 278 kes jenayah bersenjata direkodkan di bawah Seksyen 8A Akta Senjata bagi tahun 2025 setakat ini, berbanding 161 kes pada 2023.

Daripada jumlah itu, 133 kes didakwa manakala 73 masih dalam siasatan.

“Peningkatan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuhkan undang-undang dan melaksanakan pendakwaan lebih tegas terhadap individu atau kumpulan yang terlibat,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Anna Bell @ Suzieana Perian tentang strategi KDN mengawal dan membanteras penyeludupan senjata api.

Shamsul berkata KDN sedang merangka Pelan Induk Kawalan Sempadan lebih tuntas, melibatkan kerjasama strategik antara semua agensi keselamatan yang beroperasi di sempadan.

Pelan itu berdasarkan dua fokus strategik iaitu memperkukuh operasi kawalan keselamatan sempadan serta mempertingkatkan kapasiti kawalan sempadan menerusi pembangunan strategik dan latihan bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.