
Bank dibangunkan YTL Group dengan kerjasama Sea Limited itu menggabungkan inovasi AI bertaraf dunia dengan nilai, bahasa, serta gaya hidup yang membentuk identiti Malaysia.
Pengarah Urusan YTL Power International Yeoh Seok Hong berkata pelancaran Ryt Bank membuktikan kemampuan Malaysia mencipta dan membangunkan inovasi setanding piawaian global, namun kekal berpaksikan kepelbagaian budaya negara.
“Dengan Ryt Bank, kami telah membangunkan sebuah bank boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia – bank yang menggunakan bahasa kita, memahami budaya kita dan menetapkan penanda aras baharu untuk pengalaman perbankan moden,” katanya dalam kenyataan.
Ryt Bank menampilkan Ryt AI, pembantu perbankan pintar yang dikuasakan oleh ILMU, model bahasa besar pertama Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 13 Ogos.
Menjelang September depan, aplikasi itu akan menyediakan mod pilihan bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin bagi memudahkan pengurusan kewangan dengan bahasa difahami.
Ryt Bank beroperasi dengan lesen rasmi daripada Bank Negara Malaysia manakala deposit pelanggan dilindungi Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit.
Aplikasi bank itu boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play mulai hari ini.