
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika membentangkan RUU itu berkata, bacaan untuk kali kedua dan ketiga akan dibuat pada persidangan kali ini juga.
Pembentangan itu menandakan satu titik bersejarah dalam usaha negara mengiktiraf peranan penting pekerja gig dalam undang-undang perburuhan negara di samping memastikan hak serta kebajikan mereka dilindungi secara menyeluruh.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata akta yang diusahakan kerajaan itu menjurus ke arah menjaga industri ekonomi gig, dan langkah penting dalam memperkenalkan kerangka perlindungan sosial kepada lebih 1.12 juta rakyat yang terlibat dalam sektor itu.
Pada Mei, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata draf RUU itu dibuat selepas sesi libat urus diadakan dengan lebih 3,000 pekerja.
Aspek utama RUU itu termasuk pengenalan definisi rasmi pekerja gig, penetapan pampasan minimum, penciptaan mekanisme aduan dan perlindungan keselamatan sosial seperti sumbangan mandatori kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).