Kerajaan perkasa tenaga kerja mahir untuk terajui semikonduktor dunia

Kerajaan perkasa tenaga kerja mahir untuk terajui semikonduktor dunia

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz berkata kerajaan kini berjaya melatih lebih 13,000 pekerja berkemahiran tinggi.

KILANG MICRON CHIP PULAU PINANG MALAYSIA
Antara matlamat utama Strategi Semikonduktor Nasional yang dilancarkan tahun lalu adalah memperkasakan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri yang pesat berkembang.
PETALING JAYA:
Sidang Kemuncak Semikonduktor Asean 2025 yang dianjurkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) baru-baru ini bermatlamat memperkukuh peranan rantau itu sebagai hab global utama dalam pembuatan semikonduktor, keselamatan teknologi dan inovasi.

Sidang yang julung kali diadakan itu adalah sempena ulang tahun pertama Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang dilancarkan pada 28 Mei 2024, lapor Berita Harian.

NSS bertujuan untuk mentransformasikan negara menjadi kuasa global dalam industri semikonduktor dengan antara matlamat utama adalah memperkasakan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri yang pesat berkembang.

Bagi memenuhi keperluan jurutera berkemahiran tinggi dan tenaga kerja berteknologi tinggi, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, berkata kerajaan melatih lebih 13,000 pekerja berkemahiran tinggi dalam industri semikonduktor.

Katanya, kejayaan itu hasil beberapa program utama termasuk yang dikendalikan oleh Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST) serta Kementerian Sumber Manusia melalui TalentCorp.

“Inisiatif Rangka Tindakan E&E Kementerian Sumber Manusia-TalentCorp pula telah memberi manfaat kepada lebih 1,180 peserta di seluruh negara.

“Apa yang sama penting, peserta juga melaporkan peningkatan gaji sehingga 20%, dengan lebih separuh kini memperoleh pendapatan melebihi RM3,000 sebulan,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, beberapa ahli ekonomi yakin Malaysia berpotensi menjadi peneraju dalam industri semikonduktor berdasarkan kepada pelbagai agenda pemerkasaan terutama dalam pengukuhan tenaga kerja mahir.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata strategi jangka panjang dilihat akan dapat memperkukuhkan ekosistem industri semikonduktor apabila bakat tempatan akan digilap bagi menghasilkan mikrocip.

Katanya, perkara itu sekali gus akan memperbanyakkan lagi permintaan terhadap guna tenaga mahir terutama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ketua Ahli Ekonomi MBSB Investment Bank Bhd, Abdul Mui’zz Morhalim berpendapat kerjasama yang lebih erat antara pelbagai pihak akan memastikan bekalan graduan dan bakat berkualiti yang diperlukan oleh industri.

Beliau berkata, hal ini kerana ketidakpadanan kemahiran merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kekurangan bakat dalam industri semikonduktor dan isu pekerjaan di bawah tahap kelayakan pada peringkat nasional.

Ketua Pegawai Eksekutif CREST, Jaffri Ibrahim, berkata kekurangan bakat berkemahiran tinggi dalam industri semikonduktor berpotensi memberi impak negatif kepada momentum perindustrian Malaysia kerana boleh menjejaskan keupayaan negara untuk berinovasi, meningkatkan pengeluaran dan memenuhi permintaan global.

“Antara faktor penyumbang kepada cabaran ini termasuklah penghijrahan bakat ke luar negara, ketidakpadanan antara sistem pendidikan dan keperluan industri, serta kekurangan insentif untuk mengekalkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Bagi membantu memastikan saluran bakat dalam industri semikonduktor Malaysia kekal relevan dan mencukupi, CREST mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh ekosistem bakat negara melalui strategi kolaboratif yang bersasar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.