
Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira, berkata pengurangan siling daripada 15% kepada 10% tidak praktikal dari segi ekonomi kerana industri masih memerlukan pekerja asing.
Populasi pekerja asing tanpa izin di Malaysia dianggarkan berada pada nisbah 1:1 atau 1:2 bagi setiap pekerja asing yang didokumenkan.

“Jumlah bilangan pekerja asing dalam tenaga buruh boleh mencapai sehingga 30%. Jika anda menghadkannya pada 10%, apakah yang berlaku kepada pekerja asing tanpa dokumen?” katanya kepada FMT.
Pada 19 Ogos, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan memutuskan untuk membuka semula permohonan kuota pekerja asing, tetapi hanya untuk sektor dan subsektor tertentu. Beliau berkata had siling bilangan pekerja asing di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 akan ditetapkan pada 10% selepas 31 Dis.
Bagaimanapun, Pereira mendakwa pihaknya secara umumnya mendapati, melalui penyiasatan syarikat huluan dan hiliran, bahawa ‘setiap rantaian bekalan menggunakan perkhidmatan pekerja asing tanpa dokumen sama ada secara langsung atau tidak’.
“Ini masalah kita dengan metrik dan perancangan. Terdapat beribu-ribu kilang haram. Kita tidak tahu data sebenar untuk bekalan dan permintaan, jadi saya tidak pasti bagaimana menteri-menteri membuat dasar sedemikian,” katanya.
Pereira juga mempertikaikan langkah mengehadkan permohonan sektor pembinaan untuk projek kerajaan, berkata ia ‘tidak masuk akal’, dan menimbulkan kebimbangan kemungkinan mendorong kegiatan haram dalam mengambil pekerja tanpa dokumen oleh syarikat kontrak.
“Adakah kita mengatakan kerajaan mempunyai monopoli ke atas sektor pembinaan? Bagaimana pula dengan pembinaan pusat data utama dan loji semikonduktor utama? Nampaknya beberapa tindakan menyalahi undang-undang akan berlaku,” katanya.

Ida Yasin, pakar ekonomi di Sekolah Perniagaan Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata penarikan balik pembekuan pengambilan pekerja asing harus menjadi penyelesaian jangka pendek hingga sederhana.
“Penyelesaian jangka panjang adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah sebanyak mungkin. Kita harus menggunakan penjenteraan dan separa-automasi dalam industri kita,” katanya.
Ida berkata Malaysia belum melaksanakan penjenteraan sepenuhnya dalam penuaian buah kelapa sawit, dan masih bergantung kepada tenaga manusia. “Kita menggunakan penjenteraan dan pengautomasian sebanyak mungkin untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing,” katanya.
Bagaimanapun, Pereira berkata ‘tidak ada salahnya’ dengan kebergantungan kepada buruh asing. Beliau berkata Singapura terus bergantung kepada buruh asing walaupun cuba memodenkan dan mengurangkan bilangan pekerjaan 3D (kotor, sukar dan berbahaya).