
Farhash juga meminta bekas menteri ekonomi itu memohon maaf di atas kenyataannya terbabit.
Rafizi dalam kenyataan mengesahkan beliau menerima surat itu Jumat lalu dari peguam Farhash, Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co yang mewakili Datuk Wira Farhash Wafa Salvador.
“Kenyataan saya itu adalah satu pernyataan fakta.
“Oleh itu, saya bersedia mempertahankan fakta-fakta tersebut di mahkamah,” katanya yang menyerahkan tindakan selanjutnya kepada peguamnya iaitu Razlan Hadri Zulkifli dari Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri.
“Saya berpandangan sekiranya Farhash memfailkan saman di mahkamah kelak, ia akan menjadi kes berkepentingan awam dan peguam-peguam saya berpeluang menanyakan soalan ditimbulkan pelbagai pihak.”
Rabu lalu, Rafizi mendedahkan maklumat diterimanya sebelum insiden serangan ke atas anak lelakinya pada 13 Ogos lalu adalah berkaitan urus niaga syarikat milik Farhash.
Ahli Parlimen Pandan itu dipetik berkata maklumat itu tidak ada kena mengena dengan mana-mana ahli politik lain termasuk bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin (KJ) seperti yang tersebar.
Dalam kejadian 13 Ogos lalu, anak lelaki Rafizi diserang secara tiba-tiba ketika bersama isterinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Ketika kejadian, kedua-duanya hendak memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu di mana dua lelaki berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup seluruh muka mengheret anaknya dan mencucuk dengan jarum suntikan.
Rafizi turut mendakwa pihak terbabit cuba mengugut isterinya.