Tumbuk di gelanggang, FAM bayangkan hukuman gantung, denda

Tumbuk di gelanggang, FAM bayangkan hukuman gantung, denda

Badan induk bola sepak sudah minta laporan penuh dengan kes akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib.

tumbuk
Jurulatih futsal Sabah, Roger Filipe terbaring di gelanggang selepas ditumbuk pegawai sendiri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Aksi siaran langsung ketua jurulatih futsal Sabah Roger Filipe ditumbuk penolong jurulatihnya mendapat perhatian serius Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Badan induk sukan itu akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak berkenaan termasuk hukuman gantung dan denda.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, berkata pihaknya sudah meminta laporan penuh daripada pegawai perlawanan dan pengadil sebelum kes berkenaan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib.

“Kita sedang meneliti insiden pergaduhan itu dan menunggu laporan daripada pegawai perlawanan serta pengadil. Semua maklumat tersebut akan dikumpul dan diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan selanjutnya.

“Sekiranya didapati bersalah, jurulatih terbabit boleh dikenakan hukuman gantung dan denda,” katanya menurut Berita Harian.

Semalam, tular insiden pergaduhan dalam kem Sabah susulan tumpas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Futsal Malaysia, di Negeri Sembilan.

Sabah terlebih dahulu mendahului 3-1, namun JDT bangkit melakar kemenangan dramatik 4-3.

Sejurus wisel penamat, Filipe dipercayai berang meluru ke dalam gelanggang dan cuba ditenangkan pegawai pasukan, namun beliau bertindak menyiku penolongnya.

Tindakan dianggap provokasi itu membangkitkan rasa tidak puas hati pegawai berkenaan yang menumbuk pengendali kelahiran Portugal tersebut, sehingga terlentang di atas gelanggang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.