
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, sistem yang tidak menggunakan infrastruktur SMS sedia ada itu sedang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyampaikan amaran lebih pantas dan tepat ketika berlakunya sebarang bencana alam atau kecemasan.
Teo berkata, kementeriannya telah mencadangkan projek itu dimasukkan dalam Belanjawan 2026.
“Buat masa ini, kita bergantung pada syarikat telekomunikasi (telco) untuk hantar amaran SMS. Tetapi ada kekangannya. Mesej kepada penerima yang ramai perlu melalui sistem giliran telco, yang boleh menyebabkan kelewatan.
“Jika Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) keluar amaran untuk kawasan tertentu, SKMM boleh segera hantar notifikasi kepada orang ramai di lokasi tersebut.
“Sistem ini telahpun diguna pakai di beberapa negara, termasuk Jepun. Kita percaya ia akan sangat berguna untuk Malaysia,” katanya pada satu majlis di Kulai, lapor The Star.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan dua kejadian gempa bumi di Segamat dan Kluang pagi tadi.
Gempa bumi pertama berukuran 4.1 pada skala Richter melanda Segamat pada 6.13 pagi, manakala gempa bumi bermagnitud 2.8 dikesan di Kluang sekitar 9 pagi.
Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang.
Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.