PKR Sabah elak ulas spekulasi anak Musa sertai parti

PKR Sabah elak ulas spekulasi anak Musa sertai parti

Mustapha Sakmud berkata, pengumuman akan dibuat kelak, saran media tanya sendiri Yamani Hafez Musa, anak Yang Dipertua Negeri.

Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud bersama Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar ketika merasmikan bilik gerakan pilihan raya bagi kawasan Inanam dan Danau. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PKR Sabah enggan mengulas spekulasi penyertaan Yamani Hafez Musa, anak Yang Dipertua Negeri Musa Aman, yang disebut-sebut akan menyertai parti itu dan bertanding pada PRN akan datang.

Ketuanya, Mustapha Sakmud menyarankan pihak media agar bertanya terus kepada Yamani, namun memberi bayangan bahawa ‘perkara itu akan diumumkan kelak’, lapor The Star.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan bilik gerakan PRN bagi kerusi DUN Api-Api di Kota Kinabalu.

Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang turut hadir berkata, permohonan menyertai parti boleh dibuat secara dalam talian.

“Individu yang tepat untuk menjawab (tentang perkara ini) ialah setiausaha agung kita,” katanya, merujuk Fuziah Salleh.

FMT sedang berusaha mendapatkan komen daripada Fuziah.

Yamani, anak sulung Musa, merupakan bekas timbalan menteri kewangan negeri. Beliau sebelum ini memenangi kerusi Parlimen Sipitang atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14. Beliau kemudian menyertai Bersatu, namun tidak mempertahankan kerusi tersebut pada PRU15 (2022).

Bagaimanapun, sejak beberapa minggu lalu, nama Yamani disebut-sebut sebagai calon berpotensi PKR bagi kerusi Sipitang. Kerusi itu kini dipegang Dr Yusof Yacob dari Parti Gagasan Rakyat Sabah, sebuah parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mentadbir negeri.

Christina Liew tak hadir

Sementara itu, Mustapha menepis persoalan mengenai ketiadaan bekas ketua PKR Sabah Christina Liew pada majlis pelancaran itu, di tengah-tengah spekulasi beliau bakal digugurkan sebagai calon pada PRN Sabah.

“Mungkin beliau ada komitmen lain sebagai menteri (pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar negeri) dan perlu hadiri beberapa program hari ini. Sebab itu beliau tidak dapat hadir,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.