
Komander Pasukan PPM Wilayah Satu Pulau Pinang, Rusley Che Ari, berkata operasi pada 8.10 malam, Jumaat itu dijalankan sepasukan tujuh anggota susulan maklumat risikan mengenai cubaan penyeludupan dadah melalui laut.
Katanya, pasukannya telah mengesan sebuah bot bergerak laju dalam keadaan mencurigakan menuju ke perairan antarabangsa dipercayai Indonesia tanpa menyalakan lampu navigasi.
“Pasukan PPM cuba memintas bot itu bagi pemeriksaan, namun sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan, suspek bertindak memecut laju dan mengemudi bot secara berbahaya.
“Pasukan PPM kemudian melihat beberapa objek dibuang ke laut dari bot sebelum suspek berjaya meloloskan diri,” katanya menurut Bernama.
Rusley berkata, hasil pencarian di kawasan terletak kira-kira 1.9 batu nautika dari Tanjung Gertak Sanggul itu telah menemukan satu tong biru bertutup mengandungi ketulan mampat kristal jernih disyaki syabu seberat 11.19kg bernilai RM352,000.
Semua rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Barat Daya untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.