Johor saran masjid, surau anjur solat hajat susulan gempa bumi kecil

Johor saran masjid, surau anjur solat hajat susulan gempa bumi kecil

Arahan disampaikan menerusi JAINJ gerak inisiatif mohon keselamatan, kesejahteraan berterusan untuk rakyat Johor.

Kerajaan Johor gerak inisiatif anjur majlis doa selamat dan solat hajat oleh masjid dan surau di negeri itu susulan gempa bumi kecil di Segamat pagi tadi. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Semua masjid dan surau di Johor disaran menganjurkan majlis doa selamat serta solat hajat berikutan kejadian gempa bumi kecil yang melanda Segamat pagi tadi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Mohd Fared Mohd Khalid berkata, arahan itu disampaikan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bagi menggerakkan inisiatif demi memohon keselamatan dan kesejahteraan berterusan buat rakyat serta negeri.

“Berikutan gempa kecil di Segamat, saya telah mengarahkan JAINJ agar menyarankan penganjuran doa selamat dan solat hajat di masjid serta surau di seluruh negeri.

“Kita berdoa agar Allah memelihara keselamatan rakyat dan negeri ini,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Dalam pada itu, Mohd Fared turut menyeru umat Islam di negeri itu agar bersama-sama memperbanyak doa serta memohon perlindungan daripada sebarang musibah dan bencana.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi tadi dengan kekuatan magnitud 4.1.

Insiden itu disusuli gegaran lemah kedua pada 9 pagi di 28km Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10km.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.