
Menurut pengarahnya, Sulaiman Ibrahim, masih ramai anak muda Kedah yang menganggur walaupun dikatakan banyak pelaburan masuk ke Kedah.
“Kerajaan negeri gagal menangani isu kadar pengangguran yang tinggi apabila lebih 100,000 anak muda Kedah masih tidak mempunyai pekerjaan meskipun kerajaan negeri mendakwa telah membawa masuk pelaburan besar.
“Sektor pelancongan juga dilihat gagal apabila fasiliti asas di lokasi utama didapati terbiar, kebersihan lemah dan Langkawi gagal menjana limpahan ekonomi kepada penduduk setempat yang masih hidup dalam kesusahan,” katanya selepas menyerahkan memorandum di Wisma Darul Aman, Alor Setar, lapor Bernama.
Sempena penyerahan memorandum berkenaan, pihak sekretariat turut mengadakan Himpunan Honggaq Kedah.
Sulaiman berkata, memorandum itu turut mengetengahkan isu alam sekitar serta menuntut penutupan segera kuari di Gunung Pulai dan Gunung Baling yang beroperasi berhampiran penempatan penduduk, dikatakan menjejaskan kesihatan, keselamatan dan biodiversiti.
Selain itu, memorandum itu turut mempersoalkan pembangunan yang hanya ditumpukan Kulim melalui projek Taman Teknologi Tinggi Kulim, sedangkan daerah pedalaman seperti Baling, Sik dan Yan terus terpinggir daripada arus pembangunan.
Menurut Sulaiman, pihak sekretariat berharap agar Sanusi dapat memberikan penjelasan segera.
Tindakan susulan akan diambil jika tiada sebarang maklum balas diterima dalam tempoh terdekat, tambahnya.
“Menteri besar boleh beri penjelasan sama ada pada sidang DUN atau sidang media,” katanya.