
Pakar psikologi klinikal kanak-kanak, Dr Noor Aishah Rosli, berkata media sosial mendorong amalan perkongsian imej, penerimaan rakan sebaya serta kandungan tular, yang boleh menormalkan perlakuan awal seksual dan mengaburkan batasan dalam kalangan pengguna muda.
Beliau berkata, kanak-kanak berusia bawah 13 tahun sering kali tidak dapat memahami kesan jangka panjang tindakan mereka.
“Mereka mungkin sedar berkongsi imej berunsur lucah adalah benda yang salah atau memalukan, namun mereka lazimnya tidak mampu menjangka akibatnya pada masa hadapan, seperti kerosakan reputasi, eksploitasi siber, atau implikasi undang-undang,” katanya kepada FMT.
Noor Aishah berkata, faktor lain seperti persekitaran keluarga, pengaruh rakan sebaya, pendedahan kepada media berunsur seksual, serta sifat peribadi individu juga boleh mendorong sebahagian kanak-kanak lebih cenderung kepada tingkah laku berisiko.
“Kanak-kanak yang kurang dipantau, jarang komunikasi terbuka dengan penjaga, atau tiada panduan mengenai literasi digital juga boleh menjadi faktor penyumbang,” katanya.
Noor Aishah berkata demikian susulan pendedahan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, mengenai kes melibatkan empat kanak-kanak berusia 12 tahun, dilapor menjual gambar lucah mereka melalui WhatsApp.
Sebahagian daripada kanak-kanak perempuan itu dilaporkan berhenti sekolah selepas memperoleh pendapatan yang melebihi gaji ibu bapa mereka.
Yeap Yen Ying daripada Pusat Wanita untuk Perubahan (WCC) di Pulau Pinang berkata, beliau sendiri pernah menyaksikan kes seumpama itu ketika menjalankan program di sekolah.
“Apabila saya bertanya kepada pelajar mengapa mereka menjual gambar bogel, ia bukan kerana kekurangan wang untuk makanan atau keperluan asas; sebaliknya ia bertujuan mengekalkan gaya hidup sosial mereka.
“Contohnya, untuk membeli kasut baru, iPhone, atau barangan lain bagi menyesuaikan diri dengan rakan sebaya,” katanya.
Beliau berkata, masalah itu menjadi lebih serius kesan media sosial, yang mendedahkan kanak-kanak kepada imej gaya hidup mewah dan mendorong perbandingan tidak sihat.
Katanya, ibu bapa perlu membimbing anak-anak mereka, namun pihak sekolah dan pihak berkuasa juga memainkan mempunyai peranan penting.
Daripada maklum balas program latihan guru WCC, menunjukkan ramai pendidik menzahirkan rasa kurang bersedia menangani kes buli siber dan eksploitasi seksual kerana tumpuan utama mereka masih terletak pada menghabiskan sukatan pelajaran.
“Peranan guru kini terlalu tertumpu hal akademik sehingga kesejahteraan pelajar sering dipinggir,” kata Yeap.