
A Srimurugan berkata, penghakiman disampaikan dengan pantas lazimnya mempunyai mutu lebih baik kerana fakta kes masih segar dalam ingatan hakim.
Hal ini, seterusnya, mungkin boleh memujuk pihak terkilan daripada memfailkan rayuan kerana penghakiman dibuat berkemungkinan kukuh dari segi undang-undang dan fakta.
“Sebaliknya, proses keadilan akan terbantut jika penghakiman bertulis yang diperlukan dalam rayuan jenayah dan sivil tidak disediakan mengikut jadual,” kata peguam itu.
Srimurugan berkata, selaras arahan amalan mahkamah yang telah lama berkuat kuasa, ramai hakim cenderung menyediakan alasan penghakiman bertulis dalam tempoh lapan minggu daripada tarikh rayuan, atau lebih lewat.
Beliau turut menyeru amalan sedemikian disemak semula.
Peguam berkenaan mengulas susulan Chong Chieng Jen dari DAP meluahkan kekesalan mengenai rayuan fitnah terhadap kerajaan Sarawak terpaksa ditangguhkan minggu lalu, berikutan kegagalan hakim bicara untuk menyampaikan penghakiman bertulis — walaupun perbicaraan telah selesai tiga tahun lalu.
Susulan itu, Mahkamah Rayuan telah mengarahkan hakim Mahkamah Tinggi menyediakan alasan penghakiman dalam tempoh sebulan.
Chong, Ahli Parlimen Stampin, berkata peguamnya telah menulis surat sebanyak lima kali kepada mahkamah untuk mendapatkan alasan tersebut, namun tidak berhasil.
Pada Ogos 2022, hakim yang ketika itu merupakan pesuruhjaya kehakiman, menganugerahkan kerajaan negeri dan Lembaga Kewangan Sarawak diberikan ganti rugi RM150,000 selepas memutuskan bahawa Chong memfitnah kedua-dua entiti tersebut.
Tuntutan saman itu difailkan pada 2013 berhubung istilah ‘black hole’ digunakan Chong merujuk dana negeri berjumlah RM11 bilion telah ‘hilang’.
Srimurugan berkata, menurut Perkara 18(7B) Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994, pihak yang terkilan boleh memohon kebenaran mahkamah untuk meneruskan rayuan dengan bergantung kepada nota keterangan perbicaraan.
Peguam Ranjan N Chandran berkata, adalah lebih wajar sekiranya rayuan didengar dengan alasan penghakiman bertulis tersedia.
“Nota prosiding adalah terhad kerana ia hanya merekodkan apa diperkatakan di mahkamah (oleh saksi ketika perbicaraan).
“Alasan penghakiman bertulis pula menjelaskan proses pemikiran hakim bicara serta dapatannya mengenai kredibiliti saksi dan penerapan aspek penting dalam undang-undang fitnah termasuk penerbitan, niat jahat serta kerosakan terhadap reputasi,” katanya.
Ranjan berkata, mahkamah rayuan hanya dapat menilai sama ada wujud kesilapan yang boleh dirayu sekiranya terdapat alasan penghakiman bertulis yang menyeluruh.
Beliau berkata, sebarang kelewatan dalam memperoleh penghakiman untuk tujuan rayuan boleh mengakibatkan ketidakadilan dari segi prosedur, menjejaskan tempoh masa pemfailan rayuan serta menambah tunggakan kes.
Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar, berkata adalah penting bagi hakim bicara mengemukakan alasan penghakiman segera bagi kesalahan jenayah serius, khususnya melibatkan hukuman mati atau pemenjaraan panjang.
“Akan berlaku ketidakadilan kehakiman kerana rayuan tidak dapat didengar tanpa mengetahui alasan sabitan terhadap tertuduh,” katanya sambil menambah perbicaraan adil merangkumi keperluan menyediakan penghakiman segera.
“Menulis penghakiman berkualiti serta menyampaikannya dalam tempoh munasabah petunjuk wibawa seorang hakim,” katanya.
Syed Iskandar menyeru semua pentadbir kehakiman mengambil langkah memastikan tiada kelewatan melampau dalam kalangan hakim bicara dan hakim rayuan untuk mengemukakan penghakiman bertulis.