
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata, kerajaan negeri juga bercadang melaksanakan hari tanpa beg plastik sekali guna dari Jumaat hingga Ahad di semua premis.
Katanya, kerajaan negeri kini berada dalam fasa akhir semakan semula undang-undang berkaitan penguatkuasaan, termasuk merangka pewartaan garis panduan baharu.
“Dalam menuju matlamat sifar penggunaan plastik sekali guna di Selangor, antara strategi ditekankan ialah pembentukan sokongan dasar serta perundangan yang kukuh,” katanya ketika berucap sempena Kempen Bebas Plastik Siri 3 di Pengkalan Sabak, Sabak Bernam, hari ini.
“Antara langkah penting dicadangkan termasuk pelaksanaan hari tanpa beg plastik sekali guna pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, dan penetapan larangan penggunaan polistirena serta penyedut minuman plastik sebagai syarat dalam permohonan lesen perniagaan.
“Program kutipan caj beg plastik untuk hari Isnin hingga Khamis juga sedang ditambah baik melalui semakan semula undang-undang serta pewartaan garis panduan baharu. Suatu kadar caj baharu akan diumumkan tidak lama lagi bagi menggalakkan lebih ramai pengguna membawa beg guna semula.”
Jamaliah berkata, kerajaan negeri juga telah meluluskan pekeliling bagi melarang penggunaan plastik sekali guna di semua bangunan kerajaan.
“Semua pendekatan ini bersifat menyeluruh merangkumi dasar, perundangan, pemantauan dan penguatkuasaan, bagi memastikan Selangor berada di landasan betul untuk mencapai matlamat sifar penggunaan plastik sekali guna secara progresif dan berkesan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, Selangor sedang dalam proses memuktamadkan pelan ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna Negeri Selangor menjelang 2030.